Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menghadiri majlis pecah tanah Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Baling, Kedah.

ALOR SETAR – Langkah membuka Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Baling membuktikan usaha kerajaan dalam pembangunan luar bandar.

Ia seterusnya akan membawa banyak manfaat kepada penduduk setempat, kata Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Majlis Pecah tanah Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Baling, Kedah.

Timbalan Perdana Menteri menyifatkan kejayaan pembukaan pusat pengajian tinggi itu adalah usaha penyandang kerusi Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Rahim yang bersungguh-sungguh membawa perubahan kepada masyarakat setempat disitu.

“Ini adalah manifestasi kesungguhan calon-calon yang ada terutamanya Azeez yang membawa pembangunan ke Baling… majlis ini sangat signifikan, malah kerusi Timbalan Perdana Menteri pun tidak ada kolej UiTM,” kata beliau semasa majlis pecah tanah di Kampung Bandar, Mukim Siong hari ini.

Kira-kira 5,000 orang ramai hadir pada majlis pecah tersebut yang dianggap sebagai projek ikonik yang bakal merubah masa depan penduduk di Baling.

Dalam pada itu, Azeez pula berkata, pembukaan UiTM itu selari dengan komitmen beliau untuk meningkatkan mutu pendidikan masyarakat Baling yang agak ketinggalan dan tidak perlu lagi terlalu bergantung kepada aktiviti menoreh getah semata-mata.

“Sejak awal lagi saya mahu menukar Baling supaya menjadi pusat ilmu dan dengan pembinaan UiTM ini diharapkan ia dapat membantu masyarakat setempat mendapat pendidikan yang tinggi dan berjaya pada masa depan kelak,” ujarnya.

Penubuhan kampus baharu UiTM Kedah cawangan Baling dijangka beroperasi sepenuhnya menjelang tahun 2020.

Pada peringkat awal penubuhan kampus itu dijangka bermula pada Sesi Akademik 2021/2022, seramai 1800 jumlah enrolmen disasarkan yang melibatkan tiga (3) Program Diploma dan satu (1) Program Pra Diploma.

Tiga fakulti yang terlibat adalah Fakulti Pengurusan dan Perniagaan (FPP) iaitu untuk Program Pra Perdagangan dan Diploma Pengurusan dan Teknologi Pejabat; Fakulti Pengurusan Maklumat (FPM) untuk Program Diploma Pengurusan Maklumat dan juga Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi (FSPPP) untuk Program Diploma Pentadbiran Awam.

Manakala pada fasa kedua penubuhannya pula, disasarkan seramai 1200 jumlah enrolmen dan akan melibatkan program-program yang berciri futuristik dan merentasi bidang seperti agro-halal business, eko-pelancongan, data scientists and analyst, dan sebagainya. – MalaysiaGazette