Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Najib Tun Razak (tengah) berswafoto bersama tetamu yang hadir pada Majlis Santai Industri Pelancongan bersama beliau sempena kempen Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) di Dewan Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC), Langkawi. foto AQIRA AZEMI, 04 MEI 2018.
Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Najib Tun Razak (tengah) berswafoto bersama tetamu yang hadir pada Majlis Santai Industri Pelancongan bersama beliau sempena kempen Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) di Dewan Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC), Langkawi. foto AQIRA AZEMI, 04 MEI 2018.

LANGKAWI – Walaupun pihak parti lawan sering mengeluarkan kata-kata kesat sepanjang tempoh berkempen terhadap kerajaan dan pemimpin negara, namun Datuk Seri Najib Razak masih bersabar dan enggan melayani tohmahan tidak berasas tersebut.

Perdana Menteri berkata, sepatutnya beliau juga boleh membalas balik kutukan dan caci maki tersebut tetapi menegaskan, agenda kerajaan untuk membantu rakyat adalah lebih utama daripada membuang masa dengan kritikan tidak membina pembangkang.

“Saya tidak pilih pendekatan kutuk, caci atau keluarkan kata kesat walaupun sepatutnya saya boleh sebab orang menentang saya mengamalkan cara seperti ini.

“Tapi saya pilih bercakap cara berhemah dan terangkan agenda kita,” kata beliau semasa menghadiri majlis santai industri pelancongan di Dewan Pameran Antarabangsa Mahsuri di sini malam ini.

Jelas Najib, berbeza dengan pendekatan pembangkang yang suka memaki dan menghina pemimpin kerajaan, Barisan Nasional (BN) lebih memikirkan cara dan langkah untuk meningkatkan masa depan rakyat.

“Bagi saya politik bukan berkisar kepada nilai moral yang begitu rendah sekali tetapi harus berkisar untuk masa depan kita. Sebab itu saya nak tumpukan kepada agenda kita,” ujarnya.

Dalam pada itu, Najib membentangkan 18 inisiatif yang akan dilaksanakan jika BN berjaya mengekalkan kemenangan kerusi Parlimen Langkawi pada PRU-14 ini.

“Saya sebagai Perdana Menteri dan mewakili BN amat komited untuk masa depan Langkawi, ini la masa depan kita dan untuk sekarang komitmen ini saya akan bentangkan beberapa inisiatif baharu yang akan saya bentangkan sebagai gambaran apa yang kita lakukan dalam tempoh lima tahun lagi,” ujarnya.

Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Najib Tun Razak berucap pada Majlis Santai Industri Pelancongan bersama beliau sempena kempen Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) di Dewan Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC), Langkawi. foto AQIRA AZEMI, 04 MEI 2018.

Antara inisiatif tersebut adalah pembinaan UTC, pembinaan litar motocross, peruntukan usahawan RM100 juta, Akademi Pelancongan Langkawi dinaiktaraf, pembukaan Langkawi Premium Outlet, membuka Langkawi Tourism TV dan meningkatkan akses perkhidmatan wifi di tempat-tempat utama pelancongan.

Najib berharap dengan semua inisiatif tersebut ia akan mengangkat Langkawi sebagai destinasi pelancong terkemuka di dunia. – MalaysiaGazette