Tengku Adnan Tengku Mansor

KUALA LUMPUR – Setelah dituduh mencuri duit rakyat oleh Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Tun Dr Mahathir Mohamad, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor tampil memberikan kenyataan.

Menurut Tengku Adnan, Mahathir mungkin sudah lupa bahawa beliau pernah dinobatkan sebagai orang paling kaya pada 1992 yang kemudiannya terjun ke bidang politik.

“Bila masa pula saya tidak menjadi Ahli Parlimen dan tidak terpilih menjadi menteri? Hakikatnya saya telah digugurkan menjadi menteri oleh Tun Abdullah. Saya telah menjawat jawatan menteri ini pada zaman Datuk Seri Najib. Ini adalah satu pembohongan yang besar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam ceramah di padang letak kereta Masjid Sultan Mizan Zainal Abidin semalam, Mahathir menggelar Tengku Adnan sebagai pencuri duit rakyat.

Malah beliau turut mendedahkan bahawa Tengku Adnan ada membuat panggilan kepadanya berhubung isu tidak dipilih sebagai Menteri Kabinet dalam pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

“Satu lagi fakta yang dituduh Tun mudah lupa, saya digugurkan menjadi Menteri ketika zaman Tun Abdullah Ahmad Badawi, dan dilantik menjadi menteri semasa pentadbiran zaman Datuk Seri Najib,” katanya.

Tengku Adnan dalam pada itu berkata, beliau banyak menyumbang tenaga semasa Mahathir memecat Timbalannya, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 1997.

Malah beliau turut berkata, Anwar yang banyak membantu beliau dalam mengembangkan perniangaan pada masa itu.

“Tun cuba menipu rakyat dengan cara yang sama seperti serangannya Datuk Seri Najib Tun Razak dan Datin Seri Rosmah Mansor.

“Saya bukan pencuri.. malahan dengan harta yang saya ada ini saya bersyukur kerana dapat membantu rakyat,” katanya.

Dianggarkan lebih 5,000 penyokong PH turun padang dalam ceramah itu yang menyaksikan kemunculan kali pertama calon DUN Chempaka, Nik Omar Nik Abdul Aziz di Wilayah Persekutuan.

Dalam pada itu, Tengku Adnan berkata, penyokong yang ramai pada ceramah semalam adalah rata-ratanya orang luar dan bukannya pengundi Putrajaya.

“Kami tahu bahawa orang luar yang membanjiri ceramah Tun. Saya juga sedia maklum bahawa jumlah penyokong yang hadir dalam taklimat Tun semalam bukanlah warga tempatan, semuanya telah dirancang serapi yang mungkin bagi mengaburi masyarakat,” katanya. – MalaysiaGazette

http://malaysiagazette.com/blog/2018/05/04/kunan-telepon-saya-masa-najib-tak-beri-jawatan-tun-m/