P. Prabakaran
P. Prabakaran

KUALA LUMPUR – Presiden PKR, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail menyokong tindakan calon bebas, P. Prabakaran yang menggunakan simbol kunci sebagai wakil Pakatan Harapan (PH) bertanding kerusi Parlimen Batu pada PRU-14 ini.

Menurut Wan Azizah, kesediaan Prabakaran untuk menyertai PH menunjukkan beliau tidak rela memberi kemenangan mudah kepada Barisan Nasional (BN).

“Saya menyeru seluruh rakyat dan pengundi di Parlimen P.115 Batu untuk memberikan sokongan yang padu kepada Prabakaran,” katanya yang juga calon PKR bagi kerusi Parlimen Pandan dalam satu kenyataan hari ini.

Wan Azizah berkata, beliau yakin usaha gigih yang dilakukan oleh PH pada PRU kali akan membuahkan kemenangan kepada parti itu.

Parlimen Batu menyaksikan pertandingan empat penjuru iaitu calon BN, Datuk Dr Dominic Lau, calon Pas, Azhar Yahya dan dua lagi calon bebas, P. Prabakaran dan S. Raja Panjamurthy yang merupakan bekas ahli MIC.

Calon PKR, Tian Chua hilang kelayakan daripada bertanding di kerusi Parlimen Batu pada PRU-14 selepas permohonannya ditolak oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Penolakan permohonan Tian Chua itu berikutan satu kes Mahkamah Shah Alam pada tahun 2013. – MalaysiaGazette