Wan Azizah Wan Ismail
Presiden Pakatan Harapan merangkap Calon Pakatan Harapan (PH) P.100 Pandan, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail bercakap ketika memberi penerangan ringkas pada Program Minum Pagi Bersama Rakyat sempena kempen Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) di Kedai Mat Soto, Kampung Cheras Baru, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 04 MEI 2018

PANDAN – Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mendakwa beliau tidak tahu mengenai beberapa insiden ganas yang didakwa melibatkan penyokong Pakatan Harapan (PH) di Johor.

Ketika ditanya mengenai perkara itu, beliau yang juga calon PKR bagi kerusi Parlimen Pandan berkata, perkara itu diserahkan kepada pihak polis jika ia benar-benar berlaku.

“Saya tak tau pasal tu, biar polis yang siasat.

“Setiap kali PRU kita katakan kepada penyokong, no violence (tiada keganasan). Dalam pilihan raya kali ini kita sangat berhati-hati dan memang tak beri (tak benarkan penyokong berbuat kasar),” katanya ringkas.

Wan Azizah berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai beberapa laporan polis yang dibuat oleh Barisan Nasional (BN) Johor berhubung tindakan agresif penyokong PH dalam beberapa insiden ketika berkempen.

Dalam kejadian di Ayer Hitam, seorang warga emas ditolak jatuh dari atas pentas ceramah oleh seorang penyokong gabungan pembangkang berusia 58 tahun.

Mangsa mengalami keretakan tulang rusuk kiri dan kini ditahan di Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI), Batu Pahat untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Dalam kejadian di Skudai pula, seorang lelaki Cina lebam di bahagian tangan apabila mendakwa dihentak menggunakan kerusi plastik ketika sedang mengedarkan risalah calon Pas di sebuah kedai makan.

Manakala, di Johor Bahru pula, gabungan PH didakwa melanggar syarat apabila mengedar risalah berbaur fitnah memburukkan kerajaan di sekitar kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Stulang.

Satu laporan polis juga dibuat oleh Barisan Nasional Johor Bahru mengenainya.

Mengulas mengenai keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak saman yang difailkan oleh Naib Presiden PKR, Tian Chua terhadap SPR, Wan Azizah berkata, perkara itu merupakan satu penganiayaan terhadap penyandang kerusi Parlimen itu.

Wan Azizah mendakwa, Tian Chua sepatutnya boleh bertanding pada PRU ini ekoran mahkamah belum memutuskan sebarang keputusan terhadap saman yang difailkan sebelum ini. – MalaysiaGazette

http://malaysiagazette.com/blog/2018/05/01/penyokong-ph-pukul-lelaki-cina-edar-risalah-pas/