Calon Barisan Nasional (BN) P.098 Gombak, Datuk Abdul Rahim Kamarudin (tiga kiri) diiringi Calon Barisan Nasional (BN) N.16 Sungai Tua, Datuk N.Rawisandran (tiga kanan) dan jentera melaungkan "Hebat Negaraku" pada Majlis Pelancaran Manifesto DUN Sungai Tua sempena kempen Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) di Perkarangan Plaza UMNO Gombak, Batu Caves, Selangor. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 05 MEI 2018

GOMBAK – Jangan percaya dengan calon PKR dan Pas kerana kedua-dua parti itu itu racun negara dan masyarakat, dakwa Datuk Abdul Rahim Pandak Kamaruddin.

Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Gombak menyeru agar pengundi tidak terpengaruh dengan rekaan propaganda yang dimainkan oleh seteru BN menjelang beberapa hari sahaja lagi ini.

“Calon Pakatan Harapan dan Pas sama-sama kita perlu tolak. Walaupun orang kata Pas nampak suka dengan UMNO itu agenda politik mereka.

“Pastikan anda tidak memilih selain kita tolak ideologi politik. Kita jangan terpengaruh dengan propaganda ‘biru muda’, ‘hijau putih’ kerana ini racun berbisa untuk masyarakat Malaysia,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian Manifesto BN untuk Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tua petang tadi.

Abdul Rahim merupakan muka baharu BN di Gombak pada PRU-14 berhadapan dengan Menteri Besar Selangor yang juga Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan calon Pas, Khairil Nizam Khirudin.

Senada dengan Abdul Rahim, calon BN DUN Sungai Tua, Datuk N. Rawisandran menyeru agar jentera parti mendekati setiap seorang pengundi agar dapat mengubah penyandang wakil rakyat  sekarang yang baginya tidak memberikan manfaat kepada penduduk.

Tambahnya, sejarah lama apabila beliau kalah pada pilihan raya yang lalu dengan calon PKR, Amirudin Shari sepatutnya tidak akan berulang lagi kali ini kerana BN bukan parti yang lemah sebenarnya.

“Kita bukan lemah jangan rasa kita lemah kita lebih kuat daripada parti yang ada di sini. Kita sepatutnya menang pada PRU-13 saya tahu saya kalah sebab ketika itu saya calon baharu.

“Kalau kita tidak dekati pengundi satu-satu kita akan hadapi masalah yang sama pada masa depan,”ujar beliau dalam majlis yang sama.

Kini Rawisandran bukan sahaja bersaing semula dengan Amirudin tetapi juga berhadapan dengan calon Pas, Mohammad Ibrahim dan calon bebas, Badrul Hisam Md. Zin.

Untuk rekod, Amirudin pada PRU-13 mengalahkan Rawisandran dengan majoriti  3,261 undi. – MalaysiaGazette