Prof Dr. Teo Kok Seong

KUALA LUMPUR – “Nak berkempen, berkempenlah tapi jagalah tatasila. Jangan memfitnah, mengada-adakan cerita yang tidak betul, memburuk-burukkan orang lain. Itu bukan sahaja salah tetapi berdosa,” pesan Prof Datuk Dr. Teo Kok Seong.

Profesor di Institut Kajian Etnik, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mengakui beliau gerun dengan kempen-kempen politik yang berlangsung sepanjang tempoh berkempen pada Pilihan Raya Umum Ke-14 yang didakwanya sudah tersasar daripada prinsip kelima Rukun Negara – kesopanan dan kesusilaan.

Teo berkata, melihat, mendengar dan membaca kempen-kempen politik membuatkan beliau tertanya-tanya di mana perginya sikap sopan santun, hormat-menghormati, tertib dan toleransi yang menjadi simbol masyarakat Malaysia selama ini.

“Politik kita semakin dahsyat, agresif hingga mengakibatkan permusuhan dalam kalangan penyokong, ini satu petanda tidak baik.

“Sepatutnya politik menyatukan rakyat walaupun wujud perbezaan ideologi tetapi bukan sehingga memecah-belahkan keharmonian. Ini bukan imej sebuah politik matang.

“Situasi ini tidak baik untuk imej Malaysia di mata antarabangsa yang selama ini dikagumi kerana aman dan perpaduannya,” kata Teo kepada MalaysiaGazette.

Beliau berkata, unsur-unsur agresif ini kerana ahli-ahli politik negara terlalu politiking, terdesak melakukan apa sahaja untuk meraih undi meskipun melakukan perbuatan salah dalam norma-norma seorang manusia.

Tegasnya, tidak salah berpolitik kerana ia satu keperluan sesebuah negara merdeka tetapi janganlah sehingga melanggar Rukun Negara yang sepatutnya dipegang dan dihormati.

“Tak salah hendak berebut kuasa, rebutlah kerana dalam sistem demokrasi semua pihak berpeluang tetapi buatlah secara berhemah kerana pada akhirnya rakyat yang akan menilainya. Buruk baik kempen, rakyat juga akan menghadapinya.

“Dalam sistem demokrasi memang peranan pembangkang penting sebagai pemantau kepada kerajaan yang memerintah, kedua-duanya saling melengkapi.

“Tapi bangkanglah untuk tujuan memperbaiki keadaan, kena rasional, tidak politiking dan hujah-hujah yang membina. Bukan seperti yang berlaku sekarang.

“Kepada pemimpin kerajaan pula, kalau berhujah, lemparkan fakta-fakta, tunjukkan pencapaian. Jangan sindir-menyindir.

“Apa salahnya berpolitik secara bersih dan matang, ini baru demokrasi. Bukan seperti sekarang berkempen secara tidak profesional dan tidak educated,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast