Anggota polis Sarjan Detektif, Azman Lassim bercakap kepada media selepas selesai menyempurnakan undi awal sempena Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) di Pulapol, Langkawi. foto AQIRA AZEMI, 05 MEI 2018
Anggota polis Sarjan Detektif, Azman Lassim bercakap kepada media selepas selesai menyempurnakan undi awal sempena Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) di Pulapol, Langkawi. foto AQIRA AZEMI, 05 MEI 2018

LANGKAWI – Baru sebulan menjalani pembedahan di bahagian punggung, Sarjan Detektif Azman Lassim, menggagahkan diri menyelesaikan proses undian awal Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) kali ini, di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Langkawi, dekat sini, meskipun bertongkat kerusi.

Beliau yang bertugas di Bahagian Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Langkawi, diberi keutamaan pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk mengundi di saluran dua.

“Mengundi ini tanggungjawab kita. Walaupun kesihatan tidak mengizinkan, itu bukan alasan.

“Kita ingin negara kita aman dan selamat. Tidak kira siapa yang perintah,” katanya yang menghidap penyakit kencing manis sejak 12 tahun lalu.

Azman berkata, penyakitnya semakin kronik pada tahun lalu hingga mengakibatkannya menjalani pembedahan di peha pada Julai tahun lalu.

Pada 4 April lalu, beliau yang mula berkhidmat sejak 31 tahun lalu itu, menjalani pembedahan kedua di pinggul bagi membuang nanah dan diberi cuti sakit sehingga 30 April lalu.

Beliau yang berpengalaman sebagai pengawal keselamatan di Kedutaan Malaysia di Indonesia selama empat tahun, bermula 2005, sudah dua kali mengundi di Langkawi, sejak ditugaskan pada 2009.

Sementara itu, Yeoh Yee Chee, 26, berkata pengalaman mengundi buat kali pertama kali ini istimewa baginya apabila dapat melaksanakannya sebagai anggota polis.

“Memang berbeza menjalankan tanggungjawab ini sebagai orang biasa dan pegawai polis.

“Sebelum menjadi polis saya tidak begitu ambil tahu sangat mengenai politik jadi sekarang saya tahu apa perbezaan, dari segi undang-undang, apa tugas polis semasa pilihan raya, penamaan calon dan tempoh berkempen,” kata anak kelahiran Butterworth, Pulau Pinang ini.

Bertugas sebagai Pegawai Penyiasat di Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Langkawi, sejak 2016, Yee Chee, mengakui beliau tidak bermasalah ketika menjalani proses membuang undi dan tidak timbul konflik kepadanya meskipun beliau adalah pejawat awam keran undi adalah rahsia. – MalaysiaGazette