Johari Abdul Ghani
Johari Abdul Ghani

KUALA LUMPUR- Dilahirkan oleh keluarga yang tidak berharta dan dibesarkan dalam kawasan setinggan menyebabkan calon Barisan Nasional Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani amat menitik beratkan pendidikan terutama kepada rakyat yang berada di kawasannya.

Menurut Menteri Kewangan Kedua itu, hanya pendidikan yang dapat mengubah nasib sesuatu kaum tersebut dan disebabkan itu juga kerajaan Barisan Nasional memberi penekanan mengenai aspek tersebut serta memastikan semua rakyat mendapat peluang pendidikan yang sama rata tanpa mengira latar belakang ekonomi mereka.

“Ibu bapa saya tiada harta jadi mereka hanya beri saya pelajaran dan dengan pelajaran itulah saya berjaya bekerja dengan syarikat korporat selepas pulang dari luar negara.

“Saya kemudiannya mampu memiliki empat syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia dengan 26,000 pekerja.

“Disebabkan inilah saya amat mementingkan pendidikan kerana apabila orang bercakap dengan saya, dia kata saya ini bolehlah buat apa sahaja kerana saya orang korporat tetapi apabila saya beritahu, dulu saya anak setinggan. Mereka terkejut.

“Apa yang ditawarkan kerajaan sekarang adalah yang terbaik iaitu peluang pendidikan tanpa mengira latar belakang ekonomi. Anda kaya, anda sederhana mahupun miskin semuanya boleh pergi sekolah dan universiti,” katanya ketika berucap di Majlis Sambutan Tahun Baharu Tamil di sini.

Menurut Johari, kerajaan tidak pernah mengabaikan mana-mana kaum di negara ini dan setiap rakyat diberi peluang yang sama rata. Terserah kepada mereka sama ada mahu menggunakan peluang tersebut atau pun tidak.

Katanya, isu kaum India yang sering dijadikan modal politik juga seharusnya tidak timbul kerana Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan BN telah terbukti membela nasib kaum India dengan lebih sistematik dan berstruktur menerusi Pelan Tindakan Masyarakat India.

“BN tahu kalau kita sediakan pendidikan yang sempurna, kaum India akan dapat kelayakan akademik yang bagus dan ilmu pengetahuan yang baik untuk mereka mencari kerja atau memulakan perniagaan sendiri.

“Malah sekiranya mereka betul-betul layak, kita akan beri peluang untuk mereka bekerja di syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC),” katanya.

Tambah beliau, selain membantu membangunkan ekonomi masyarakat India menerusi pendidikan dan peluang pekerjaan serta perniagaan, kerajaan BN juga sentiasa memastikan budaya dan agama masyarakat India terus dipertahankan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast