KUALA LUMPUR – Pada PRU-13, Datuk Mas Emieyati Samsuddin merupakan muka baharu calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Masjid Tanah namun kini Ketua Pergerakan Puteri UMNO itu seperti ‘selebriti’ di Melaka.
Populariti Mas Emieyati yang diberi mandat sekali lagi mempertahankan kawasan itu menjadi bukti beliau disenangi rakyat.
Ini kerana dalam tempoh lima tahun pelbagai inisiatif telah dibangunkan di Masjid Tanah, kata Ketua Puteri MIC Kebangsaan, Guna Sundari Ramayah.
Beliau mengakui kagum melihat penerimaan Mas Ermieyati oleh semua golongan semasa bersama-sama berkempen.
“Saya kagum dan teruja sebenarnya kerana pada saya Mas Ermieyati adalah mentor dan penasihat kepada Puteri MIC yang saya terajui.
“Berkempen bersamanya seperti beriringan dengan seorang diva dan selebriti popular kerana melihat kemesraannya dengan pengundi,” ujar Guna Sundari lagi.
“Beliau sangat mudah didekati oleh semua golongan tidak kira tua atau muda dan berbilang bangsa kerana begitu mudah untuk berbicara dengannya.
“Malah setiap tempat yang beliau pergi sudah pasti ramai yang ternanti-nanti kehadirannya,” katanya.
Dalam pada itu, Guna Sundari yakin kemenangan besar BN di Masjid Tanah kerana pengundi hanya mahu Mas Ermieyati sebagai pemimpin mereka.
Melaka mempunyai sebanyak 28 kawasan DUN serta enam kawasan Parlimen yang ditandingi keseluruhannya oleh BN pada PRU-14 dan pada PRU-13, BN menguasai 21 DUN dan empat Parlimen.- MalaysiaGazette
















