SHAH ALAM – Calon Parlimen Barisan Nasional Kota Raja, Gunalan Velu berikrar berjuang bermati-matian bagi memastikan kemenangan besar walaupun terpaksa menghadapi saingan sengit.

Menyedari kawasannya bertanding adalah kubu kuat Pakatan Harapan (PH) atau dulu dikenali Pakatan Rakyat sejak tahun 2008, Gunalan tetap optimis segalanya berkemungkinan.

Gunalan akan berhadapan dengan Presiden Parti Amanah Negara (PAN),  Mohamad Sabu atau lebih popular dengan gelaran Mat Sabu dan Mohamed Diah Baharun daripada Pas.

Gunalan diberikan mandat oleh MIC untuk ‘bertarung’  di Parlimen Kota Raja sekaligus mengetuai misi ‘memutihkan’ kawasan ‘hitam’ di Selangor itu.

“Apabila saya diberikan kepercayaan untuk bertanding di Kota Raja, saya sedikit pun tidak gentar dan mempersoalkan keputusan kepimpinan tertinggi sebaliknya dengan azam yang sangat tinggi menerimanya.

“Benar, saya akan hadapi saingan besar kerana lawan saya juga bukan calang-calang orangnya dan yakin dengan keupayaan diri dan kerajaan BN.

“Pada saya, walaupun saya yang merupakan Ketua Bahagian MIC Sepang dan telah banyak menghabiskan masa membela nasib penduduk di sana selama ini namun bertanding di Kota Raja juga memberikan perasaan yang sama.

“Pentadbiran kerajaan negeri Selangor kucar kacir namun pengundi seringkali diberikan impian serta omong kosong kononnya segala macam yang dijanjikan oleh mereka hanya mampu dijadikan realistik seandainya menang besar kelak.

“Sampai bila mahu membohongi pengundi? Mereka percayakan pembangkang sejak tahun 2008 namun tiada sebarang perubahan. Saya mahu bawa perubahan itu,” kata anak jati Sepang itu kepada Malaysia Gazette baru-baru ini.

Tambah Gunalan yang juga merupakan Ahli Majlis Tertinggi MIC positif dengan kemenangan BN terutama di Kota Raja kerana  pengundi sudah mula bosan dengan retorik selama sedekad PH memegang tampuk pemerintahan.

“Rakyat tidak nampak apa yang dicanangkan oleh PH kononnya mereka sahaja mampu membawa kepada perubahan besar demi masa depan rakyat di negara. Segala macam janji bulan dan bintang itu sebenarnya hanya omongan kosong demi menarik undi.

“Kemudian mereka akan hilangkan diri. Yang melakukan perubahan serta pembangunan selain daripada sentiasa bersedia tiap waktu demi memperjuangkan masa depan rakyat adalah kerajaan BN. Malah di Kota Raja sendiri, walaupun kalah BN tetap turun padang selama ini. Rakyat nampak semua itu.

“Sejak mula berkempen, saya telah bertemu dengan ribuan pengundi dan masyarakat Kota Raja tidak kira kaum dan agama. Saya dengar suara hati dan kehendak mereka. Saya positif tentang kemenangan di sini.

Dalam pada itu, Gunalan berkata, sekiranya BN diberi mandat mentadbir Selangor selain daripada memberi peluang kepada dirinya menang, antara perkara utama yang akan dilakukan olehnya termasuk menyelesaikan masalah insfrastruktur di kawasan itu dalam tempoh sebulan.

“Dalam tempoh terdekat kempen ini, saya sedang mempergunakan masa 24 jam sehari untuk terus berjumpa seramai pengundi yang boleh untuk bertanya tentang permasalahan utama yang menghantui mereka.

“Rata-rata penduduk sebenarnya telah membangkitkan masalah banjir yang begitu teruk sekali, perumahan terutamanya rumah mampu milik, aliran trafik serta sistem perparitan. Ini adalah masalah utama sejak dua penggal kerajaan pembangkang memerintah Selangor.

“Sudah tiba masanya untuk warga Kota Raja untuk memberikan mandat kepada kerajaan BN kembali memerintah demi masa depan yang diyakini cerah,” ujarnya.

 

Pecahan kesluruhan pengundi di Kota Raja dengan jumlah pengundi Melayu tertinggi sebanyak 64,354 atau 43.20 peratus, India sebanyak 41,439 atau 27.81 peratus manakala Cina pula merangkumi 41,214 orang atau 27.70 peratus. – MalaysiaGazette