KUALA LUMPUR – Walaupun didapati bersalah melanggar Perkara 48 Perlembagaan Persekutuan sehingga menyebabkan kehilangan kelayakan untuk bertanding pada PRU-14 kali ini, Tian Chua terus menyemarakkan rasa benci rakyat terhadap kerajaan.

Naib Presiden PKR yang sudah hilang kelayakan untuk bertanding di Parlimen Batu kali ini kerana kesalahan yang dilakukan oleh dirinya, namun rakyat terus dihasut kononnya kerajaan dengan bantuan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berkomplot untuk memastikan dirinya teraniaya.

Ketika berucap pada sesi ceramah di UTC Sentul beliau mendakwa dirinya menjadi mangsa keadaan kerana kerajaan Barisan Nasional (BN) begitu takut menghadapi kenyataan dirinya akan menang besar di kawasan itu sehingga terpaksa memastikannya tidak bertanding.

“Saya cakap dengan anda sekalian wahai pengundi Batu, kerajaan BN yang memperalatkan SPR sebenarnya begitu takut untuk berhadapan dengan saya sehingga terpaksa berkomplot menjatuhkan saya sekaligus memastikan saya tidak dapat bertanding walaupun mahkahmah telah memberi kebenaran untuk saya bertanding.

“BN tahu mereka tidak akan sesekali menang di Parlimen Batu, kerana itu terpaksa melakukan semua ini bagi memastikan kemenangan bagi pihak mereka. Bagaimanapun, saya yakin pengundi di sini tahu apa yang perlu dilakukan.

“Walaupun calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak dapat bertanding di kawasan ini, kita dalam Pakatan Harapan telah sebulat suara mahu memberikan mandat kepada calon bebas, P. Prabakaran sebagai calon pilihan PH. Undilah beliau, calon termuda kita bagi memastikan BN kalah di sini.

“Saya telah dihalang dengan tidak adil dan demokrasi kerana kuasa dengan mereka. Jangan sesekali benarkan mereka menang,” katanya malam ini.

Sementara itu, aktivis pro pembangkang, Cynthia Gabriel juga berterusan mengapi-apikan rasa benci selain mengelirukan pengundi kawasan Batu kononnya Tian Chua sengaja tidak diberikan peluang bertanding.

Dakwa Cynthia, badan kehakiman, SPR dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sentiasa diperalatkan oleh kerajaan selama ini.

“Saya mohon kepada penduduk Batu supaya hanya memberikan undi anda kepada calon bebas yang telah diberikan mandat oleh PH. Hanya dengan kemenangan besar kita, kita mampu membawa kepada perubahan betul.

“Banyak sangat salah guna kuasa yang kita perlu betulkan selepas PRU-14 kali ini. Usah tertipu lagi,” tegasnya.

Terdahulu, Pegawai Pengurus Pilihan Raya Anwar Mohd Zain menolak pencalonan Tian Chua bertanding kerusi Parlimen Batu berdasarkan Perkara 48 Perlembagaan Persekutuan 1948.

Di dalam akta itu menyatakan mana-mana pihak sekiranya disabitkan atas suatu kesalahan oleh sesuatu mahkamah di Persekutuan dan dihukum dengan pemenjaraan selama tempoh tidak kurang daripada satu tahun atau denda tidak kurang daripada RM2,000 dan dia tidak mendapat pengampunan bebas, maka individu ini secara automatik hilang kelayakan bertanding sebagai ahli Parlimen.

Tian Chua didapati bersalah oleh Mahkamah Sesyen Petaling Jaya pada Mac tahun lepas kerana mengeluarkan perkataan kesat yang mengaibkan seorang pegawai polis dan dikenakan denda RM3,000.

Pada 2 Mac lepas, Mahkamah Tinggi Shah Alam menolak rayuan pihak pendakwaan untuk menaikkan hukuman denda RM3,000 yang dikenakan terhadap Tian Chua dan sebaliknya mengurangkan jumlah denda kepada RM2,000 atau dua bulan penjara jika gagal membayar denda.-MalaysiaGazette