Presiden Empiricial Malaysia, Anina Saadudin bercakap pada sidang media sempena Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) di Hotel Bayview, Langkawi. foto AQIRA AZEMI, 06 MEI 2018

LANGKAWI – Presiden Empirical, Anina Saadudin meminta Tun Dr. Mahathir Mohamad menyelesaikan isu peribadi, keluarga dan kroninya terlebih dahulu.

Ia lebih baik daripada beliau membangkitkan isu-isu yang zaman Perdana Menteri sekarang yang sebenarnya sudah selesai, katanya.

Bekas Ketua Wanita Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu, berkata, Mahathir seharusnya memberi jawapan terhadap isu-isu pada zamannya yang belum selesai sebelum hari pengundian PRU-14 ini.

Antara persoalan Anina termasuk dakwaan Pengerusi Pakatan Harapan itu memiliki sebanyak 488 syarikat dengan kekayaan AS$44 billion yang sekarang bernilai RM170 billion.

Beliau juga meminta penjelasan bagaimana anak-anak Mahathir mendapat banyak keistimewaan dalam kontrak dan tender-tender daripada kementerian serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC) ketika beliau menjadi Perdana Menteri.

“Tun Daim (Zainuddin) juga harus menjelaskan bagaimana beliau memiliki dana yang begitu besar untuk membeli kumpulan bank ICB Financial Group pada tahun 1994 yang memiliki bank di 13 buah negara di tiga benua yang secara kebetulan pula ketika BNM (Bank Negara Malaysia) kehilangan RM30 billion secara misteri.

“Adakah kehilangan RM30 billion rizab BNM ada kaitan dengan kekayaan sepantas kilat Tun Daim kerana Tun Daim juga adalah Menteri Kewangan yang bertanggungjawab ke atas transaksi misteri yang menyebabkan BNM kehilangan dana yang begitu besar, sebelum beliau meletakkan jawatan pada tahun 2014,” soalnya lagi.

Anina yang merupakan seorang daripada tujuh pengasas PPBM berkata demikian dalam sidang media khas di sini hari ini.

Beliau berkata, dalam kempen PRU-14 ini, Mahathir kerap membangkitkan isu yang sudah lama selesai iaitu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan derma politik RM2.6 billion untuk mempengaruhi pengundi.

Selain itu, katanya, penglibatan ‘kartel lama’ melibatkan Daim, Tan Sri Rafidah Aziz dan Tan Sri Rais Yatim dalam kempen  Mahathir kali ini menimbulkan kesangsian rakyat.

“Sangat ironik apabila kumpulan `kartel lama’ yang telah mengumpul begitu banyak kekayaan ketika era Mahathir melalui kronisme dan salah guna kuasa kini tiba-tiba tampil untuk kononnya “menyelamatkan Malaysia”.

“Adakah kumpulan kartel lama’ ini mahu menyelamatkan Malaysia? Ataupun mereka hanya mahumenyelamatkan diri sendiri’?” soal Anina.- MalaysiaGazette