Tan Sri Noh Omar akan melepaskan jawatan sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor susulan gagal menawan negeri itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) Mei lepas.
Tan Sri Noh Omar

SUBANG – Jangan percaya dengan ‘momokan’ parti pembangkang yang sering membangkitkan isu hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB), kata Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor, Tan Sri Noh Omar.

Sebaliknya, menurut beliau, parti pembangkang termasuk rakyat juga sepatutnya fokus tentang aset yang dimiliki oleh syarikat pelaburan itu.

“Kata 1MDB, 1MDB, 1MDB itu sahaja. Saya dah banyak kali terang, jangan tengok hutang sahaja, aset pun kita kena tengok.

“Memanglah hutang kena bayar, faedah kena bayar tetapi aset dia lebih banyak, ini pun kita nak cakap asyik-asyik berulang-ulang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika program pelancaran Program Transformasi Sosial (PTS) di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Lembah Subang I.

Beliau dalam pada itu menggesa rakyat agar tidak terus mempercayai semua fitnah pembangkang demi memburukkan kerajaan persekutuan di bawah BN kerana sepatutnya yang dinilai adalah khidmat konsisten parti itu kepada rakyat.

Sementara itu, Noh membidas tindakan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang disifatkannya gagal bukan hanya sebagai Ahli Parlimen Gombak malah keseluruhan negeri itu kerana hanya tahu berpolitik dan memomokkan rakyat dengan fitnah pembangkang membabitkan isu 1MDB dan Cukai Barangan dan Perkhidmatan.

“Ahli politik jangan hanya tahu tabur fitnah sahaja. Kalau dengar Azmin Ali berucap berapi-api Selangor kaya, kita ada RM4 bilion rizab kerajaan negeri Selangor sampai saya tak tahu nak guna duit ini tapi Parlimen Gombak pun tidak boleh jaga kebajikan pengundi-pengundi kamu pun tak jaga bagaimana kamu boleh jadi wakil rakyat yang baik?

“Kalau bercakap berapi-api kita pun boleh cakap bukan setakat nak mencari salah orang, turun padang tengok masalah rakyat selesaikan, itulah tugas wakil rakyat bukan nak melalak sana, melalak sini sahaja dalam Parlimen asyik-asyik GST (Cukai Barangan dan Perkhidmatan,” katanya. – MalaysiaGazette