Saya akan terus setia dengan BN
Mantan Presiden MIC, Tu n S. Samy Vellu

KUALA LUMPUR – Bekas Presiden MIC, Tun S. Samy Vellu berkata, beliau akan terus kekal setia bersama Barisan Nasional, lapor akhbar Tamil Nesan hari ini.

Duta Khas Infrastrukur ke India dan Asia Selatan itu juga menegaskan, beliau tidak ada kena mengena dengan bekas pemimpin-pemimpin BN yang terlibat menggulingkan BN pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

“Saya akan terus taat setia kepada parti yang telah menjadi asas perjalanan politik dalam kehidupan saya.

“Saya tidak mahu mempedulikan apa orang lain buat di luar sana,” katanya.

Malah jelas beliau, oleh kerana terlalu lama berkhidmat dalam politik di bawah kepimpinan BN, ia sudah terpahat dalam mindanya.

“Saya mempunyai tanda hormat dan kasih sayang yang begitu mulia ke atas BN,” ujar beliau.

Bekas Menteri Kerja Raya itu juga menyeru rakyat supaya terus menyokong kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak pada PRU14.

Beliau juga menyatakan keyakinan bahawa rakyat akan menjamin kemenangan besar yang diperlukan Najib dan juga BN.

“Najib sejak mengambilalih tampuk kepimpinan negara pada tahun 2009, sentiasa mengutamakan pembangunan rakyat dan bekerja keras siang malam.

“Beliau juga berjuang untuk memastikan rakyat jelata hidup sejahtera di bawah pemerintahannya selain membangunkan ekonomi agak mampan.

“Malah PM juga telah mewujudkan satu jabatan khas untuk memperkasa kehidupan sosioekonomi selain sekolah Tamil, kuil dan dewan kemasyarakatan menerusi peruntukan ratusan juta ringgit.

“Saya percaya majoriti kaum India akan menjadi benteng pertahanan untuk kepimpinan Najib.

“Hanya segelintir pihak dalam masyarakat India yang enggan menyokong Najib.

“Menjelang hari pemilihan 9 Mei ini, terdapat kumpulan gergasi penyokong yang telah turun padang untuk memberi mandat kepada Najib kali ini,” katanya. – MalaysiaGazette