Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Pelabur asing menjual sebanyak RM438.4 juta dalam bursa tempatan berbanding belian sebanyak RM24.6 juta minggu lalu.

MIDF Amanah Investment Bank Bhd berkata, prestasi itu merupakan minggu kedua tertinggi bagi aliran keluar pada tahun ini.

Setakat ini, jumlah aliran masuk ke pasaran tempatan merekodkan sejumlah RM3.02 bilion, menjadikan Malaysia dalam kalangan aliran masuk empat pasaran ASEAN pada tahun ini.

“Ia menunjukkan pelabur-pelabur asing bergerak keluar lebih awal daripada dijangkakan sebelum pilihan raya,” katanya berbanding minggu kedua sebelum Pilihan Raya Umum ke-13, yang mana pelabur asing membeli sejumlah RM750.4 juta ekuiti tempatan.

“Manakala jualan asing pada hari dagangan terakhir sebelum PRU13 berjumlah RM91.7 juta,” katanya.

MIDF Research berkata, aliran masuk bersih RM249.1 juta pada hari Isnin diimbangi oleh tiga hari selepas aliran keluar selepas cuti Hari Buruh dengan Rabu mencatat aliran keluar harian tertinggi sejak awal Februari 2018, berjumlah RM291.7 juta .

Menurut firma penyelidikan itu sentimen risiko telah terjejas dalam tempoh tersebut disebabkan ‘demam’ PRU14, perbincangan perdagangan Amerika Syarikat-China dan kadar inflasi Amerika Syarikat yang menghampiri sasaran.

MIDF berkata, aliran masuk pelabur asing berjumlah RM1.43 bilion dalam ekuiti tempatan semasa PRU13.

Tambah firma itu, penyertaan asing masih kekal baik dengan nilai purata dagangan harian (ADTV) mencecah RM1.29 bilion, tertinggi dalam tempoh tujuh minggu. – MalaysiaGazette