Tun Abdul Hamid Mohamad
Tun Abdul Hamid Mohamad

KUALA LUMPUR – Penampilan Presiden PKR, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail mendapat perhatian bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad.

Dalam ulasannya semalam, Abdul Hamid menasihatkan isteri kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim itu, jika hendak menjadi perdana menteri, buangkanlah kipas kertas yang tidak pernah lekang daripadanya itu.

Dan, katanya, berjalanlah dengan tegas supaya nampah lebih tegas dan yakin.

“Janganlah nampak seperti pelakon opera Cina yang lengkap dengan kipasnya. Entah apa yang hendak dikipas, atau adakah beliau cuba menutup mukanya kerana malu.

“Biar apa pun alasannya, jika hendak menjadi perdana menteri, kipas itu kena buang terlebih dahulu.

“Itu pun, saya masih tidak dapat membayangkan bagaimana beliau akan menjadi perdana menteri dan tentunya beliau bukanlah bahan untuk jawatan itu,” katanya dalam kenyataan yang menukilankan pengalamannya memerhati perjalanan kempen Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Beliau bagaimanapun, enggan mengulas lanjut, sebaliknya mengajak rakyat mengambil sikap tunggu dan lihat apa yang akan berlaku pada 9 Mei ini, sambil mengingatkan ‘jangan salah ibu mengandung’.

“Saya bukanlah peminat ucapan ahli politik tempatan, apatah lagi di musim pilihan raya. Ini kerana, pertama, saya tidak suka cara mereka menjerit-jerit, seolah suara siapa yang paling kuat dialah yang betul.

“Kedua, saya tidak tertarik dengan apa dikatakan mereka yang penuh dengan kata mengata, kutuk mengutuk, tuduh menuduh dan apa sahaja yang tidak baik mengenai lawan politik semasa mereka,” katanya.

Dalam tulisannya mengenai pengalaman memerhati perjalanan kempen PRU, Abdul Hamid menyatakan, jika rakyat mengharapkan ‘golongan ulama’ untuk menunjuk teladan yang berlainan, mereka akan kecewa kerana golongan itu juga sama.

Sambil menyindir, beliau berkata, jika rakyat hendak mendengar apa yang tidak baik, dengarlah ucapan ahli politik di musim pilihan raya.

“Jika kita menerima semua yang dikatakan oleh mereka, penyudahnya mereka membuktikan bahawa mereka semua, tidak kira dari parti apa, adalah sama seperti yang mereka katakan.

“Sekali-sekala saya membuka juga youtube untuk melihat apa yang dinaikmuatkan. Mengenai sambutan orang ramai kepada ceramah Pakatan Harapan, di peringkat awal, ia cuma menunjuk penceramah dan tidak ditunjuk pendengarnya.

“Namun, kebelakangan ini, terutama sekali jika penceramah itu Tun Dr Mahathir dan Mat Satu, ia menunjukkan pendengar yang puluhan ribu orang,” katanya. – MalaysiaGazette