ALOR SETAR – Anak lelaki bekas Menteri Besar Kedah, Allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak membuat pengumuman mengejutkan apabila menyertai UMNO dan menyatakan sokongan kepada Barisan Nasional (BN).

Pengumuman Mohd. Faiq Azizan itu dibuat kurang 24 jam menjelang hari pengundian PRU-14 esok.

Faiq menjelaskan, keputusan tersebut dibuat selepas mendapat restu ibu dan isterinya dan berkata, mana-mana-mana individu berhak untuk menyertai sebarang parti politik kerana negara ini mengamalkan demokrasi.

“Saya berhak masuk mana-mana parti kerana ini negara demokrasi, jadi saya berhak memilih… lagi pun saya sudah memberitahu ibu saya dan mendapat keizinan beliau,” kata beliau semasa sidang media di pusat jentera BN Jerai hari ini.

Cuma, Faiq berkata, ibunya tidak membenarkannya menyertai Parti Amanah Negara kerana parti tersebut melawan arwah bapanya semasa dalam Pas sebelum ini.

“Emak saya cuma pesan jangan masuk PAN sahaja, sebab mereka melawan arwah bapa saya,” ujarnya.

Mohd. Faiq juga berkata sudah membuat kajian mendalam sebelum memutuskan untuk menyertai UMNO dan BN.

“Selepas semua parti saya tengok, saya dapati hanya BN boleh membantu orang,” katanya. – MalaysiaGazette