Noorhajran Mohd Nor

KUALA LUMPUR – Pelbagai pandangan dan analisis berhubung tsunami Melayu, Cina dan India menjelangnya PRU-14 ini.

Bagaimanapun, sejak bermulanya kempen,  apa yang hampir pasti secara hakiki adalah ia hanya tsunami fitnah yang berleluasa dalam media sosial sahaja yang lebih menyerlah.

Menurut pengamal undang-undang, Noorhajran Mohd Noor, rakyat setiap hari ‘dijamu’ dengan pelbagai fitnah, tohmahan serta berita palsu bagi memastikan golongan itu membenci kerajaan Barisan Nasional (BN).

Jelas Noorhajran, pembangkang sedia maklum keharmonian dapat digugat dengan ‘mudah’ sekiranya menanam sentimen kebencian dalam kalangan masyarakat berbilang kaum.

“Hanya dengan menggunakan media sosial, macam-macam finah dengan mudah dapat diserapkan oleh pembangkang untuk memastikan kuasa beralih arah kepada pembangkang.

“Penggunaan sosial adalah kadang-kadang menakutkan terutamanya kepada yang taksub.

“Bayangkan, pengguna media sosial di negara ini adalah sebanyak 24.5 juta daripada 31.83 juta penduduk. Hampir lebih 76 peratus. Facebook sahaja, penggunanya seramai 22 juta di Malaysia sebulan.

“Bermacam-macam maklumat dapat di salurkan, begitu juga berita-berita tidak benar dapat di saji kepada rakyat kita. Apabila ceramah, rata-ratanya orang kampung yang hadir dan impaknya tidak banyak. Tetapi apabila maklumat tersebar dalam sosial media, berjuta-juta dalam beberapa minit,” katanya kepada Malaysia Gazette.

 

Noorhajran juga menasihatkan masyarakat supaya tidak terus mendengar cerita pada saat akhir, lebih-lebih lagi sekiranya maklumat yang disampaikan meragukan serta tiada kesahihan.

Justeru, beliau berharap rakyat boleh sedar dan mampu berfikir secara rasional setelah pendedahan dilakukan baru-baru ini berhubung taktik kotor pembangkang dalam me­raih sokongan masyarakat.

Baru-baru ini,beberapa pemimpin pembangkang seperti Rafizi Ramli beberapa kali secara terbuka menyatakan antara tugas utama mereka adalah untuk menghasut rakyat negara untuk membenci kerajaan agar dapat mengubah kerajaan seperti hasrat mereka.

Rafizi pernah mendedahkan pembangkang mempergunakan Tun Mahathir untuk menghasut ‘orang lama’ dalam UMNO termasuk bekas Menteri untuk menggulingkan kerajaan sedia ada demi memastikan mutlak dalam tangan.- MalaysiaGazette