Ahli Dap, Zulkifli Buang pada sidang media dan laporan polis berkaitan isu kenyataan ahli Dap, Amran Ahmad bahawa Tony Pua adalah Ketua Biro Perancang fitnah dan hasutan untuk menghuru-harakan negara melalui media sosial bertempat di IPD Dang Wangi, Kuala Lumpur. foto AFIQ RAZALI, 08 MEI 2018.

KUALA LUMPUR – Susulan pendedahan ahli DAP, Amran Ahmad mengenai peranan Tony Pua di sebalik penyebaran video serta risalah propaganda fitnah empat hari lalu, kini seorang lagi ahli DAP seumur hidup, Zulkifli Buang pula tampil mengesahkan dakwaan berkenaan.

Zulkifli yang menyokong dakwaan Amran itu berkata, usaha untuk menggulingkan Kerajaan Barisan Nasional (BN) bukan sekadar propaganda bahkan wujudnya konspirasi yang telah lama dirancang oleh pemimpin DAP sejak 50 tahun lalu.

“Sebenarnya apa yang dinyatakan oleh Amran itu bukan sekadar propaganda, tapi lebih daripada propaganda.

“Pada saya ia lebih kepada konspirasi yang dirancang dengan baik lebih dari 50 tahun lagi.

“Ramai yang masih tidak tahu, apa yang Amran ceritakan hanya gerakan propaganda saja, sedangkan lebih daripada itu,” katanya kepada pemberita di luar pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di sini hari ini.

Sabtu lepas, Amran selaku Timbalan Pengerusi Biro Buruh DAP Pusat merangkap Pemikir Publisiti Pengundi Melayu DAP mendakwa, bekas Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua adalah ketua propaganda media sosial yang bertanggungjawab menghasilkan video dan risalah propaganda jahat menjelang hari pengundian 9 Mei ini.

Amran selaku penolong penerbit UbahTV iaitu televisyen rasmi dalam talian DAP pada Sabtu lepas mendakwa DAP akan mengedarkan puluhan risalah dan rakaman video memfitnah kerajaan dan pemimpin Barisan Nasional (BN) termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Amran mendakwa, Tony Pua selaku Ketua Propaganda Media Sosial DAP telah pun mengedarkan semua bahan propaganda berniat jahat dan berunsur fitnah secara berperingkat menjelang hari pengundian esok.

Antara fitnah yang dan akan disebarkan pakatan pembangkang itu ialah isu 1Malaysia Develeopment Berhad (1MDB), Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), Felda dan Tabung Haji.

Zulkifli juga mendakwa, laungan Kuasa Rakyat yang digunakan DAP dalam siri jelajah ceramahnya mengandungi agenda tersembunyi untuk memecahbelahkan perpaduan rakyta khususnya orang Melayu dengan fahaman komunis.

“Saya harap kita jangan cepat terpengaruh, saya sebagai bekas ahli DAP, saya mengkaji, melihat dan mengetahui di mana propaganda DAP dilakukan secara amat halus dengan laungan Kuasa Rakyat.

“Laungan Kuasa Rakyat itu sebenarnya adalah laungan sosialis, ia bukan fahaman berdemokrasi, tapi ia Sosialis yang tiada bezanya denan fahaman komunis.

“Biarlah kita selamatkan Malaysia dan jangan percaya kepada kenyataan yang dikeluarkan dan jangan terpedaya dengan laungan Kuasa Rakyat itu.

“Konspirasi ini adalah perancangan dan ia bukan perkara baru, ia sudah lama, macam mana dia nak jatuhkan pemerintahan orang Melayu, BN dan UMNO dengan pecahkan belahkan orang Melayu dan perpaduan rakyat,” katanya. – MalaysiaGazette

Saya tak mahu bersekongkol lagi dengan DAP, kata Amran