Tan Sri Rais Yatim
Tan Sri Rais Yatim

KUALA LUMPUR – Tidak kurang dalam tempoh 24 jam selepas sepentas dengan pembangkang, bekas menteri, Tan Sri Rais Yatim sekelip mata terus menyatakan sokongan kepada DAP.

Dalam rakaman video di Facebook, Rais berkata, mustahil untuk DAP menguasai kerajaan baru yang akan dibentuk Pakatan Harapan (PH) sekiranya mereka memenangi Pilihan Raya Umum ke-14  (PRU14).

Rais yang membuat kemunculan buat kali pertama di Titi Jelebu pada Ahad lalu kini jelas sekali sudah rapat dengan DAP biarpun tidak sampai sehari bersama pembangkang.

“Kalau dibandingkan DAP dengan MCA, dengan LDP, SUPP, Gerakan. Ada empat parti dalam Cina dalam BN sekarang. Sedangkan dalam PH hanya satu iaitu DAP.

“DAP mungkin menang 35 kerusi walaupun mereka bertanding 53 kerusi di Malaysia. 35 kerusi tidak boleh menentukan atau corak pentadbiran negara masa depan. Jadi ini satu tohmahan sengaja untuk menakut-nakutkan agar orang Melayu tidak menaruh kepercayaan kepada PH,” katanya dalam satu video hari ini.

Video berdurasi 2 minit 22 saat itu memaparkan veteran UMNO tersebut sudah menyertai PH biarpun belum jelas menyertai mana-mana parti dalam gabungan itu.

Rais yang didakwa masih ahli UMNO sebelum ini berkata, beliau tidak gerun sekiranya dipecat kerana pernah melalui saat itu ketika dalam UMNO.

Dalam video itu juga, Rais berkata, adalah tidak benar DAP akan memusnahkan hak dan keistimewaan orang Melayu jka menang PRU14.

“Orang Melayu sekarang bukan orang Melayu yang 30 tahun dahulu atau 20 tahun dahulu. Mereka sekarang boleh melihat sendiri bagaimana pelbagai penyelewengan sudah dilakukan dan bagaimana kita perlu menukar ini semua.

“Kita dapat melihat sekarang bahawa semua bandar utama di negara ini dengan kampung baru dan kampung sudah bersemuka rakyat untuk mahu menukar kerajaan, menukar hala tuju dan menukar masa depan negara dan bangsa,” katanya. – MalaysiaGazette