Datuk Ahmad Muadzam Shah Yaakop
Calon N41 Batu Tiga, Datuk Ahmad Muadzam Shah Yaakop bersama isteri tiba di pusat mengundi Sekolah Kebangsaan Bukit Kuda Klang jam 9.50 pagi tadi.

KLANG – Belum pun pusat mengundi untuk Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) ditutup pada jam 5 petang ini, sudah ramai pengundi terutamanya di Sekolah Kebangsaan Bukit Kuda di sini mengucapkan tahniah kepada calon anak muda di situ.

Beliau ialah Datuk Ahmad Muadzam Shah Yaakop selaku calon kerusi Dewan Undangan Negeri Batu Tiga yang merupakan muka baharu taruhan BN dalam PRU14.

Walaupun pertama kali bertanding dalam pilihan raya, rata-rata pengundi yang ditemui di pusat mengundi berkenaan amat mengenali Ahmad Muadzam yang merupakan anak jati kawasan itu.

Lebih membanggakan apabila kehadiran pengundi seawal jam 7.30 pagi di pusat mengundi sekolah berkenaan disifatkan sebagai luar biasa dan jauh lebih ramai berbanding PRU13 pada 2013.

“Peratusan keluar mengundi tidak pernah macam ini di awal pagi, ramai keluar kerana barisan pengundi terlalu panjang di sini.

“Insya-Allah peratusan mengundi kali ini meningkat berdasarkan keadaan ini.

“Respon agak positif kepada BN dan rata-ratanya bila kita berjumpa mereka sedia memberi sokongan lebih kepada BN,” katanya ketika ditemui selepas mengundi di Sekolah Kebangsaan Bukit Kuda, di sini, kira-kira 10.10 pagi, hari ini.

Calon Dewan Undangan Negeri Batu Tiga, Datuk Ahmad Muadzam Shah Yaakop bersama isteri menyapa pengundi warga emas di pusat mengundi Sekolah Kebangsaan Bukit Kuda Klang. Foto Nizam Zain

Terdahulu  Ahmad Muadzam bersama isteri tiba di pusat mengundi berkenaan tepat jam 9.50 pagi tadi.

Beliau kemudiannya membuat kunjungan ke pusat mengundi di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Abdul Samad yang terletak tidak jauh dari tempat beliau mengundi.

Ahmad Muadzam berkata, beliau sentiasa berlapang dada jika ada ‘orang kampung’ yang enggan memberi undi bukan kerana susuk tubuhnya sebaliknya kerana simbol BN.

“Saya terima dengan hati terbuka apabila ada orang kampung secara terus terang enggan memberi undi hanya kerana logo BN,” katanya. – MalaysiaGazette.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast