Temubual bersama Patima Hassan selepas hadir membuang kertas undi sempena hari mengundi Pilihan Raya ke-14 (PRU14) di Sekolah Menengah Kebangsaan Tasik Selatan, Cheras Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 09 MEI 2018

BANDAR TUN RAZAK – ‘Biar bertongkat tiga, saya tetap nak undi’, demikian menurut Patimah Hassan yang selesai menunaikan tanggungjawab beliau di Pusat Pengundian Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Tasik Selatan di sini hari ini.

Beliau yang memasuki kali kesepuluh mengundi dilihat amat teruja biar pun terpaksa bertongkat ketika memasuki pusat mengundi.

“Saya mengundi buat kali kessepuluh, sebelum ini saya mengundi di Kedah dan sekarang mengundi di sini sebab anak-anak nak jaga saya.

“Dulu, saya yang bawa mereka untuk melihat suasana orang mengundi, tapi kali ini mereka pula pimpin saya ke pusat mengundi,” katanya sambil ketawa.

Patimah antara ratusan warga emas yang mengundi di saluran 1 di SMK Bandar Tasik Selatan pada Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU-14) kali ini.

Hasil tinjaun mendapati suasana di pusat pengundian di sini tenang dan teratur biar pun orang ramai mula membanjiri kawasan ini sejak jam 8 pagi tadi.

Malah kawasan ini dikawal rapi oleh pihak polis bagi melicinkan perjalanan rakyat untuk membuang undi pada hari ini.

Sejumlah 14,940,624 rakyat Malaysia layak membuang undi dengan bagi memilih 222 wakil rakyat dan 505 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN). – MalaysiaGazette