ALOR SETAR – Siasatan ke atas syarikat pelaburan, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) akan dijalankan sehingga mereka yang bertanggungjawab dibawa ke muka pengadilan.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir janji untuk menyiasat 1MDB sehingga selesai kepada rakyat akan ditunaikan dan mereka terbabit dalam penyelewengan akan menerima balasannya.

“Salah satu perkara yang akan kami siasat adalah 1MDB sehingga kami selesaikannya… saya sangat yakin jika kami tidak laksanakan seperti mana kami janjikan rakyat hukum kami nanti,” kata beliau semasa sidang media pagi tadi.

Bagaimanapun, Mukhriz berjanji sebarang bentuk hukuman perlu dilaksanakan mengikut lunas undang-undang.

“Kami akan bawa mereka ke mahkamah pengadilan dan mengambil tindakan mengikut lunas undang-undang,” katanya lagi.

Mengenai kemenangan PH menawan Putrajaya, Mukhriz melahirkan rasa lega dan bersyukur kerana penat lelah mereka membuahkan hasil kerana mendapat sokongan dan kepercayaan rakyat.

“Saya ingat pertama sekali rasa lega, saya lepaskan nafas lega bahawa akhirnya apa yang kita impikan jadi kenyataan hasil usaha saudara semua.

“Rupanya apa kita perjuangkan dengan banyak pengorbanan membuahkan hasil,” katanya.

Mukhriz juga berkata terkejut dengan keputusan tersebut malahan tidak menyangka Pas berjaya memperoleh kerusi banyak dan menawan dua negeri.

“Kami terkejut dengan keputusan ini, ditambah pula Pas memenangi banyak kerusi daripada kemampuan mereka,” katanya lagi. – MalaysiaGazette