Gelagat seorang penyokong menunggang motorsikal dengan membawa bendera Pakatan Harapan bagi memberi sokongan terhadap Tun Mahathir Mohamad semasa tinjauan lensa Malaysia Gazette di laluan Pintu 1 Istana Negara, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 10 MEI 2018

KUALA LUMPUR – Majlis Angkat sumpah sebagai Perdana Menteri ke-7, Tun Dr. Mahathir Mohamad di Istana Negara di sini malam tadi mendapat perhatian daripada penyokong-penyokongnya yang turut berhimpun di setiap pintu masuk Istana Negara.

Sejak dari pagi para penyokong-penyokong Pakatan Harapan itu setia menanti Mahathir disitu bagi memberi sokongan kepada pemerintahan kerajaan baharu yang akan diterajuinya.

Disebabkan terlalu teruja dan gembira dengan kemenangan yang dicapai pada PRU-14 yang berlangsung semalam, ada segelintir penyokong bersikap tidak wajar akibat keterujaan.

Perkara itu dapat dilihat apabila mereka berteriak dengan melaungkan pelbagai slogan ketika berhimpun sambil menyebut nama bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isterinya, Datin Seri Paduka Rosmah Mansor dan pelbagai slogan lain.

Ada yang berkenderaan membunyikan hon dan ada juga yang meniup wisel membuat bising hingga menjadikan keadaan di kawasan tersebut ‘bingit’.

Mereka kemudiannya beransur-ansur meninggalkan pintu dua Istana Negara setelah mendapat tahu Mahathir dan rombongannya tidak keluar melalui pintu tersebut sebaliknya menggunakan pintu utama selepas selesai upacara mengangkat sumpah kira-kira pukul 10 malam tadi. – MalaysiaGazette