Menteri Kesihatan, Datuk Seri S. Subramaniam bercakap kepada media pada Majlis Pecah Tanah dan Naik Taraf Hospital Kajang di Hospital Kajang, Selangor. foto IQBAL BASRI, 14 APRIL 2018

KUALA LUMPUR – Presiden MIC, Datuk Seri Dr S. Subramaniam juga mengumumkan dirinya berniat untuk bersara terus daripada politik selepas kekalahan teruk Barisan Nasional (BN) pada PRU-14 lalu.

Walaupun belum dibuat secara rasmi namun beliau mengakui dirinya sudah terlalu ‘tua’ dan mahu kembali ke dunia perubatan selepas ini.

Menurut Subramaniam, apabila sesuatu berakhir pastinya ada sesuatu yang baharu menanti.

“Dengan usia menjangkau 70-an, rasanya karier politik saya sudah berakhir. Saya tidak lagi berminat, sebelum ini saya sudah ada rancangan untuk bersara. Kini dengan keputusan PRU kali ini, rasanya keputusan itu muktamad,” katanya.

Subramaniam yang juga merupakan mantan Menteri Kesihatan kalah kepada pengasas kolej Masterskill yang merupakan calon PKR, Santhara Kumar dengan 5,474 undi di kerusi Parlimen Segamat pada PRU-14.

Dalam pada itu, Subramaniam turut mendakwa, kekalahan beliau bukan kerana dirinya tidak berjasa atau bekerja di Segamat sebaliknya rata-rata pengundi hanya mahu mengundi berdasarkan parti dan bukan calon.

“Saya telah berada di Segamat selama tiga penggal dan berbangga diri kerana telah membawa pelbagai pembangunan dan perubahan kepada penduduk di situ.

“Namun demikian, PRU kali ini lain. Ianya lebih kepada anti BN sahaja. Gelombang penolakan seperti PRU 2008. Saya berasa sangat sedih tidak ada lagi peluang untuk berjasa atau membawa perubahan di Segamat lagi selepas ini.

“Kerajaan baru Pakatan Harapan telah berjanji untuk melakukan pelbagai perubahan, kita nantikan semua perubahan itu,” ujarnya.

Bagaimanapun, menurut sumber dalaman MIC, beberapa pemimpin sudah mula mendesak Subramaniam meletak jawatan bagi berikutan kekalahan teruk parti itu sendiri.

Antara puncanya, kerana calon-calon yang diletakkan sebenarnya tidak mempunyai kredibiliti sebaliknya diberikan peluang untuk bertanding.

Sebelum ini, Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai menyatakan sudah tidak lagi berminat untuk terus bertanding mempertahankan jawatan Presiden MCA pada pemilihan parti dalam masa terdekat ini.- MalaysiaGazette