UMNO
Reaksi sugul Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika mengaminkan doa selepas menunaikan Solat Magrib, Solat Sunat Hajat, Bacaan Yassin dan Solat Isyak sempena Ulang Tahun ke 72 UMNO di Surau Ar-Rahman, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 11 MEI 2018.

KUALA LUMPUR – Sambutan Ulang Tahun UMNO ke-72 yang diraikan oleh ahli dan pimpinan UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) malam ini berlangsung dalam suasana yang masih diselaputi perasaan sedih dan hiba.

Senario itu dapat dirasakan apabila rata-rata yang hadir masih tidak dapat menerima kekalahan teruk yang dialami parti itu pada PRU14 Rabu lalu.

Malah, ada tetamu yang tidak dapat menahan perasaannya apabila dilihat mengalirkan air mata ketika bersalaman antara satu sama lain.

Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak yang sepatutnya memberikan ucapan selepas jamuan bagaimanapun meninggalkan para hadirin kerana ada perjumpaan tertutup dengan Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) yang mendapat mandat rakyat pada PRU lalu.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang turut hadir pada majlis tersebut juga tidak kelihatan ceria seperti biasa.

Berdasarkan pemerhatian, cakap-cakap dalam kalangan ahli UMNO yang berada di majlis itu masing-masing cuba meredakan perasaan agar dapat menerima kekalahan dengan hati terbuka.

Selain bacaan yasin dan tahlil yang dipimpin oleh Datuk Seri Jamil Khir Baharom majlis turut diisi dengan tazkirah ringkas yang disampikan oleh Pengerusi Biro Agama UMNO, Datuk Ashraf Wajdi.

Najib meninggalkan PWTC kira-kira pukul 10.35 malam diikuti Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein.

Ketika ditemui wartawan selepas mengadakan pertemuan tersebut Najib hanya memberitahu ringkas ia hanya sekadar perbincangan biasa. – MalaysiaGazette