KUALA LUMPUR – Kemelut politik di negeri Perak berakhir apabila Pakatan Harapan (PH) akan menghantar calon untuk mengangkat sumpah jawatan sebagai Menteri Besar, petang ini.

Menurut sumber gabungan itu, PH didakwa akan menghantar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chenderiang, Ahmad Faizal Azumu sebagai Menteri Besar Perak yang baharu.

“Esok (hari ini) jam 3 petang, PH akan mengadap Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah. Faizal akan angkat sumpah,” katanya kepada MalaysiaGazette semalam.

Faizal memenangi kerusi Chenderiang apabila menewaskan calon MCA, Choong Shin Heng yang mewakili BN dengan majoriti tipis 39 undi.

Semalam ada dakwaan gabungan itu telah dapat membentuk kerajaan apabila seorang ADUN dari Barisan Nasional (BN) akan keluar parti.

Menurut Astro Awani, individu tersebut dikatakan akan menyokong PH, sekaligus membolehkan gabungan itu membentuk kerajaan kerana memperoleh 30 kerusi.

Semalam, Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah meminta supaya kedua-dia pihak, BN dan PH membawa majoriti ADUN sebagai bukti sokongan dalam membentuk kerajaan negeri.

Pemimpin BN dikatakan akan menghadap Baginda pada sebelah pagi di Istana Kinta sementara pemimpin PH meminta supaya diberikan masa sehingga 2 petang pada hari ini.

BN yang kini memiliki 27 kerusi DUN memerlukan tiga lagi kerusi sementara Pakatan Harapan yang kini memiliki 29 kerusi hanya memerlukan satu sahaja lagi ADUN menyokong.

Menurut sumber itu, Pas akan tetap menjadi pembangkang di negeri itu kerana tidak menyertai gabungan tersebut dalam membentuk kerajaan negeri. -MalaysiaGazette