Selasa ini akan menjadi hari penentuan bagi keputusan pengampunan penuh kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Selasa ini akan menjadi hari penentuan bagi keputusan pengampunan penuh kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.

KUALA LUMPUR – Selasa ini akan menjadi hari penentuan bagi keputusan pengampunan penuh kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar berkata, keluarganya menjunjung kasih kepada Yang di-Pertuan Agong yang perkenan memberi pertimbangan ke atas permohonan pembebasan Anwar.

“Hari Selasa akan menjadi penentu hari pembebasan, maka ini sesuatu yang amat penting. Kalau ikutkan mahu beliau dibebaskan serta-serta, tapi pada masa sama perlu ikut prosedur dan prinsip undang-undang,” katanya di sini.

Sementara itu, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, Yang di-Pertuan Agong akan mempengerusi mesyuarat Lembaga Pengampunan bagi tujuan itu.

Katanya, beliau dimaklumkan bahawa semua proses dan prosedur sudah dilalui.

“Dalam masa terdekat, Yang di-Pertuan Agong akan mempengerusikan Lembaga Pengampunan dan memberi pengampunan penuh kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya.

Pada Januari lalu, Jabatan Penjara Malaysia mengesahkan bahawa Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu boleh dibebaskan pada 8 Jun 2018 iaitu pada hari Jumaat, selepas Anwar selesai menjalani hukumannya pada 10 Jun 2018 selepas dijatuhkan hukuman 5 tahun penjara.

Kelmarin, Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad berkata, Sultan Muhammad ke V bersedia untuk memberi pengampunan penuh kepada Anwar Ibrahim. – MalaysiaGazette