Saya akan terus setia dengan BN
Mantan Presiden MIC, Tu n S. Samy Vellu

KUALA LUMPUR – Bekas Presiden MIC, Tun S. Samy Vellu melahirkan keyakinan bahawa Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad akan memimpin negara ke arah masa depan yang lebih cemerlang untuk seluruh rakyat Malaysia.

Samy yang pernah berkhidmat sebagai menteri di bawah kepimpinan terdahulu Mahathir dari tahun 1981 hingga tahun 2003, berkata beliau sentiasa menyanjung tinggi perdana menteri ketujuh itu.

“Saya ingin mengucapkan tahniah kepada Tun Dr Mahathir Mohamad atas pelantikannya sebagai Perdana Menteri Malaysia. Saya juga mengucapkan tahniah kepada Pakatan Harapan atas kemenangan gabungan itu pada pilihan raya umum lepas.

“Paling utama, saya ingin mengucapkan tahniah kepada rakyat Malaysia. Saya memberi sokongan yang ikhlas dan padu kepada Tun Dr Mahathir sama seperti sebelum ini, dan pasukan dinamiknya,” kata bekas Duta Khas Malaysia bagi Infrastruktur ke India dan Asia Selatan itu dalam kenyataan hari ini.

Samy Vellu memimpin MIC dari tahun 1981 hingga tahun 2010.

Pakatan Harapan yang diketuai Mahathir membentuk kerajaan selepas mencatat kemenangan besar dalam Pilihan Raya Umum ke-14 pada 9 Mei lepas, sekali gus menamatkan pemerintahan Barisan Nasional selama 61 tahun.

Dr Mahathir mengangkat sumpah sebagai perdana menteri buat kali kedua pada 10 Mei lepas. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast