KUALA LUMPUR – Selepas kekalahan teruk parti terbesar dan tertua masyarakat India, MIC pada Pilihan Raya Umum ke-14 lalu, kepimpinan tertinggi bukan sahaja digesa menerima kekalahan tersebut malah diminta berundur demi survival pada masa hadapan.

Ketua Penerangan Pergerakan Pemuda MIC Kebangsaan, P. Punithan berkata, sudah tiba masa muka baharu dan generasi muda diberi peluang untuk mengemudi parti daripada terkubur menjadi ‘sejarah’ pada masa hadapan.

Jelas Punithan, mesyuarat MIC telah memberi isyarat jelas bahawa mereka sudah tidak lagi menerima parti itu seperti sebelum ini, sebaliknya mahu perubahan yang menyeluruh bagi memastikan ia terus relevan.

“Pelbagai jenis inisiatif dan peruntukan telah diberikan kepada masyarakat India di negara ini malah keutamaan juga diberikan kepada setiap kehendak dan keperluan mereka namun bagaimana mereka menjadi antara golongan kedua terbesar yang mengundi kerajaan Pakatan Harapan?

“Segala macam rancangan yang diterajui selain daripada perancangan baru dalam manifesto ke-14 namun ianya tidak cukup untuk memenuhi kehendak, jauh sekali memenangi hati mereka untuk kekal menyokong MIC dan Barisan Nasional (BN).

“Terima sahaja hakikat bahawa kita bukan sahaja tidak lagi menerima sokongan majoriti masyarakat India walaupun secara lantang mengatakan bahawa kita hebat memperjuangkan hak-hak serta kepentingan masyarakat India.

“Kita perlu berubah, sudah tiba masanya untuk terima kekalahan ini dengan hati yang besar. Pada pendapat saya dan ramai lagi di luar sana, kepimpinan tertinggi seperti Presiden dan Timbalan Presiden, terima kasih dengan jasa serta pengorbanan anda tetapi sudah tiba masanya kepimpinan ini berubah dan bekerjasama dengan anak muda bagi kekal relevan,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Kekalahan mengejutkan pada pilihan raya umum kali ini menyaksikan tiga pemimpin utama parti komponen BN itu kecundang di kawasan Parlimen masing-masing.

Subramaniam gagal mempertahankan Parlimen Segamat, kerusi yang disandang beliau sejak 2004 apabila tewas kepada calon PKR, Datuk Seri R Santhara Kumar dengan majoriti 5,476 undi.

Subramaniam memperoleh 18,584 undi berbanding 24,060 undi yang diraih Santhara manakala calon Pas, Khairul Faizi Ahmad Kamil hilang wang pertaruhan setelah hanya memperoleh 2,676 undi.

Timbalan Presiden, SK Devamany turut menerima nasib yag sama apabila kalah di Sg Siput yang sebelum ini merupakan kubu kuat MIC.

Sebelum ini, MIC cukup gah dengan mengatakan mereka akan menang besar di sembilan kerusi yang di pertandingkan namun hakikatnya hanya dua sahaja dimenangi parti itu, satu di Tapah menerusi Datuk M. Saravanan dan Cameron Highlands yang menjadi milik Datuk C. Sivarraajh.

Punithan menambah, perjuangan parti ini sudah jauh tersasar dan tidak diyakini lagi oleh masyarakat India malah ditolak ‘mentah-mentah’.

“Saya rasa perlu ada perubahan, perubahan kepimpinan adalah seseuatu yang pasti bagi masa depan parti ini sendiri. Kita perlu kembalikan kegemilangan MIC, pengorbanan perlu dilakukan juga.

“Saya percaya kita mampu dengan perjuangan parti ini, yang tidak elok itu kita perlu betulkan agar diterima. Janganlah kita kata langsung tiada sumbangan selama berpuluh tahun.

“Bersama kita mengubah wajah, menjadi pembangkang yang kuat dengan semangat untuk terus membela nasib masyarakat India di negara ini, kita ubah wajah, bina semula strategi untuk mendominasi sokongan pada masa akan datang. Saya percaya kita masih sempat lagi,” katanya. – MalaysiGazette

1 Komen

  1. mansuh saja lah parti tu tak payah susah2 nak fikirkan perjuangan yang sudah usang.

Comments are closed.