Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim melayan tetamu yang hadir pada Majlis Berbuka Puasa di kediamannya yang terletak di Bukit Segambut Dalam, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 17 MEI 2018

KUALA LUMPUR – Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menghormati tindakan rakyat Kelantan dan Terengganu apabila memilih Pas berbanding Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu.

Menurutaya, apa yang penting ialah gelombang perubahan oleh rakyat untuk menolak Barisan Nasional (BN) yang dipimpin Datuk Seri Najib Razak.

“Kita lihat kebangkitan rakyat dalam pilihan raya kali ini yang belum pernah berlaku sejak dahulu.

“Bantahan terhadap pimpinan Najib dan UMNO berlaku di seluruh negara termasuk Kelantan dan Terengganu.

“Cuma Kelantan dan Terengganu mereka pilih Pas, tidak apa itu hak rakyat Kelantan dan Terengganu, tapi yang penting di sini walaupun pimpinan Pas lebih lunak dengan Najib, rakyat masih menolak UMNO,” katanya.

Anwar berkata demikian di hadapan kira-kira 500 jemaah selepas solat tarawih pada majlis berbuka puasa di kediamannya di Bukit Segambut di sini malam ini.

Dalam pada itu, Anwar turut memberitahu bahawa beliau ada mengingatkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad agar tidak menganiayai bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Katanya, segala tindakan yang hendak diambil terhadap bekas presiden UMNO dan pengerusi Barisan Nasional itu hendaklah dibuat berdasarkan hukum.

“Walaupun kita benci dan marah kepada Datuk Seri Najib tapi kita kena ikut hukum dan undang-undang ke atas dirinya,” ujarnya. – MalaysiaGazette