Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Shah Zanuriman Nuar Paras Khan bercakap pada sidang media selepas Pembukaan Perhimpunan Agung UMNO 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto AIZAT ZAINAL, 11 SEPTEMBER 2026.

KUALA LUMPUR – Pergerakan Pemuda UMNO mengakui kecewa dan sedih selepas pertimbangan permohonan pengampunan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ditangguhkan.

Exconya merangkap Setiausaha Pemuda UMNO Selangor Shah Zanuriman Nuar Paras Khan berkata, anggota parti mengharapkan ada perkembangan positif terhadap bekas Presiden parti itu.

Katanya, ahli UMNO sebenarnya sudah bersedia untuk menerima berita mengenai pembebasan Najib sebelum perkembangan terbaharu itu diumumkan.

“Sejujurnya ahli UMNO agak kecewa dan sedih. Pada ketika ini kita sebenarnya sudah bersedia untuk menaikkan berita pembebasan Datuk Seri Najib.

“Tetapi jika itu yang terbaik dan jika betul ia adalah permintaan daripada Yang di-Pertuan Agong, kita akur dan kita terima,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 di sini, hari ini.

Terdahulu, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri menerusi satu kenyataan memaklumkan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan supaya permohonan pengampunan Najib ditangguhkan ke Mesyuarat Lembaga Pengampunan yang akan diadakan kelak.

Dalam pada itu, Shah Zanuriman menegaskan, penangguhan pertimbangan permohonan pengampunan Najib menimbulkan persoalan dalam kalangan akar umbi UMNO mengenai faktor yang menyebabkan keputusan itu tidak dibuat seperti diharapkan.

“Tetapi kita juga faham dalam situasi itu melibatkan pihak lain yang rasanya mempengaruhi keputusan tersebut,” katanya.

Beliau turut menyebut mengenai kemungkinan wujud “tangan-tangan ghaib” yang mempengaruhi perkembangan itu, namun tidak menamakan mana-mana pihak.

“Ada tangan-tangan ghaib? Lihatlah mereka-mereka yang sepatutnya,” katanya.

Bagaimanapun, beliau mengakui perkara itu masih terlalu baharu dan majoriti ahli UMNO belum menerima gambaran menyeluruh mengenai perkembangan tersebut.

“Saya yakin para pembahas ucapan dasar Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi akan menyentuh isu pengampunan Diraja terhadap Datuk Seri Najib pada petang nanti,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN

Lembaga Pengampunan tangguh permohonan Najib

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here