Timbalan Presiden Keadilan (PKR), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali
Timbalan Presiden Keadilan (PKR), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali

SHAH ALAM – Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali akan mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad secepat mungkin bagi mendapatkan penjelasan lanjut berhubung pelantikan beliau sebagai Menteri Hal Ehwal Ekonomi.

Mohamed Azmin berkata beliau hanya mengetahui mengenai lantikan itu selepas dimaklumkan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor Datuk Mohd Amin Ahmad Ahya hari ini.

“Saya ucap terima kasih kepada Tun Dr Mahathir yang telah beri kepercayaan kepada saya untuk terajui sebuah kementerian yang kanan. Sudah tentulah beban tugas yang amat besar memandangkan usaha-usaha untuk memulihkan ekonomi negara pada hari ini.

“Namun saya telah menyembah maklum pada Sultan Selangor sebentar tadi tentang maklumat ini dan saya telah persembahkan pada tuanku bahawa saya akan adakan pertemuan dengan perdana menteri secepat mungkin malam ini juga atau selewat-lewatnya esok, untuk dapatkan penjelasan lebih lanjut mengenai skop tugas diamanahkan kepada saya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis berbuka puasa Sultan Selangor bersama rakyat di Dewan Muzakarah dan Syarahan, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini malam ini.

Menurut Mohamed Azmin hasil pertemuannya dengan perdana menteri nanti akan dipersembahkan kepada Sultan Selangor esok bagi memutuskan di manakah tanggungjawab dan peranan yang perlu beliau mainkan, sama ada kekal di Selangor atau ke peringkat persekutuan.

Katanya, beliau sebelum ini pernah dimaklumkan oleh perdana menteri untuk memainkan peranan di peringkat persekutuan tetapi tidak dimaklumkan untuk memainkan peranan di peringkat kementerian.

Ditanya sama ada beliau boleh memegang dua portfolio, Mohamed Azmin menjawab:” Sudah tentu tidak boleh.”

Terdahulu, Dr Mahathir dalam satu kenyataan hari ini mengumumkan nama sembilan lagi anggota Parlimen Pakatan Harapan yang dilantik sebagai Menteri Persekutuan, termasuk Mohamed Azmin yang juga Timbalan Presiden PKR.- BERNAMA