Sebahagian pasukan anggota polis yang bertugas membawa barang-barang bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor yang dirampas untuk membantu siasatan berkenaan kes 1MDB ke dalam trak polis di Pavillion Residence, Jalan Raja Chulan, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 18 MEI 2018

KUALA LUMPUR – Selepas dua hari pemeriksaan berhubung siasatan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di enam lokasi kediaman membabitkan Datuk Seri Najib Razak pihak polis belum dapat membuat anggaran sebenar nilai rampasan kerana terlalu banyak yang perlu dikira.

Antara barang rampasan di kediaman lokasi tersebut adalah beg berjenama, barang kemas, jam tangan ekslusif dan wang tunai yang terdiri daripada pelbagai jenis mata wang.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman, Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh bercakap kepada media mengenai operasi barang-barang bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor yang dirampas untuk membantu siasatan berkenaan kes 1MDB di Pavillion Residence, Jalan Raja Chulan, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 18 MEI 2018

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh yang mengetuai operasi tersebut memberitahu sebanyak 72 beg bagasi mengandungi barang kemas dan wang tunai serta 284 kotak mengandungi beg berjenama dirampas pihak polis sepanjang dua hari pemeriksaan.

“Jadi, sejak semalam hingga hari ini, pihak polis telah jalankan pemeriksaan di beberapa tempat di Kuala Lumpur dan Putrajaya, jumlah pemeriksaan adalah enam tempat.

“Pertama di Pejabat Perdana Menteri, kedua Kediaman Rasmi bekas Perdana Menteri dan empat lagi di kediaman beliau,” kata beliau semasa sidang media selepas selesai pemeriksaan di salah sebuah kediaman Najib di Pavillion Residences, Bukit Bintang.

Amar Singh bagaimanapun tidak dapat memberikan anggaran nilai rampasan sebenar kerana terlalu banyak barang yang perlu dikira dan disemak nilainya sebelum dapat dipastikan jumlah sebenar.

“Maklumat jumlah wang barang kemas, jam tangan, wang tunai tidak dapat buat sekarang sebab jumlah terlalu banyak.

“Kita akan buat pemeriksaan terperinci esoknya sebelum memaklumkan jumlah sebenar rampasan,” terangnya lagi.

Terdahulu, Amar Singh bersama puluhan anggota polis menjalankan operasi di Pavillion Residences dan mengangkut barang rampasan ke dalam lima trak polis.

Kawalan ketat dijalankan pihak polis di kediaman mewah tersebut sepanjang operasi dijalankan.

Jelas beliau, semua rampasan tersebut akan digunakan dalam siasatan melibatkan kes 1MDB dan merupakan sebahagian bahan bukti.

Operasi pemeriksaan polis bermula sejak semalam yang dijalankan di rumah Najib terletak di Langgak Duta. 

Sebuah lagi kediaman peribadi Najib iaitu apartmen mewah di Jalan Raja Chulan, Kuala Lumpur turut menjadi lokasi serbuan polis.

Najib dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor telah disenaraihitam oleh Jabatan Imigresen daripada meninggalkan negara ini. – MalaysiaGazette