national economy economist tax SST Kalau pun GST dihapuskan, besar kemungkinan rakyat negara ini akan dibebani dengan pelbagai kenaikan cukai lain bagi menampung pendapatan RM42 bilion yang diperoleh daripada GST. - Ramon Navaratnam taxation system
Tan Sri Ramon Navaratnam

KUALA LUMPUR – Tindakan Kerajaan Pakatan Harapan mahu memansuhkan pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dalam tempoh yang amat singkat dikhuatiri memberi kesan yang tidak baik kepada negara.

Kebimbangan itu disuarakan oleh pakar ekonomi, Tan Sri Ramon Navaratnam, yang pada pandangannya sepatutnya kajian mendalam dilakukan terlebih dahulu.

Ini kerana, keputusan yang dibuat secara tergesa-gesa akan memberi kesan kepada semua pihak – rakyat dan perniagaan terutama perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Katanya, pelaksanaan GST terbukti memberi kesan yang baik kepada pendapatan negara, lantaran itu ia dilaksanakan di sebahagian besar oleh negara-negara di dunia ini.

Dengan peningkatan pendapatan, lebih banyak golongan berpendapatan rendah dan miskin dapat dibantu serta dapat meningkatkan kemudahan yang diperlukan oleh rakyat.

“Tetapi GST menjadi mangsa politik sehingga ramai pihak tidak nampak kelebihan dan kebaikannya. Jika sistem cukai itu tidak bagus, sudah tentu ia tidak dilaksanakan di negara-negara lain,” jelasnya yang khuatir langkah kerajaan menetapkan sifat GST akan menjejaskan pendapatan negara.

Seandai itu berlaku, tidak mustahil kerajaan akan mengurangkan perbelanjaan operasi dan pembangunan negara terutama membabitkan projek-projek yang menjadi keperluan rakyat.

Kalau pun, tidak melaksanakan langkah-langkah tersebut, beliau bimbang kerajaan akan berhutang lagi atau menaikkan cukai-cukai tertentu yang dikhuatiri menyukarkan rakyat.

Sehubungan itu, beliau berharap Majlis Penasihat kerajaan dapat menjelaskan kepada rakyat dengan terperinci langkah-langkah yang sedang dibuat supaya tidak menimbulkan rasa panik dan ketidaktentuan.

“Apabila GST sifar peratus, subsidi minyak diteruskan dan menghapuskan tol, saya tertanya-tanya dari manakah sumber pendapatan negara akan diperoleh? Rakyat mungkin gembira tetapi apakah kesannya kepada negara.

“Apatah lagi jumlah populasi negara bertambah, bagaimana kemudahan-kemudahan asas rakyat seperti sekolah dan kesihatan,” ujar beliau yang menyifatkan kebimbangannya berasas kerana tidak mahu Kerajaan Pakatan Harapan melakukan kesilapan.

Katanya, Malaysia sepatutnya mencontohi model ekonomi Scandinavia yang menggunakan kutipan hasil cukai yang diperoleh daripada golongan kaya untuk membantu penduduk miskin. – MalaysiaGazette