Azhari Shaari
Azhari Shaari

SHAH ALAM – UMNO dan Barisan Nasional (BN) kalah pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU) lalu kerana sikap pengundi yang ‘marahkan seekor nyamuk, habis kelambu dibakar’.

Perkara ini dinyatakan Ketua UMNO Bahagian Shah Alam, Datuk Azhari Shaari yang membuat kajian atau ‘bedah siasat’ selepas 10 hari PRU14, yang menyaksikan BN kalah teruk sehingga gagal mempertahankan pusat pentadbiran Putrajaya, di samping kehilangan banyak negeri.

Beliau menyatakan, faktor utama kekalahan itu disebabkan sistem Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), kenaikkan petrol dan diesel setiap minggu serta individu bernama (Datin Seri) Rosmah Mansor.

Suara rakyat rata-rata golongan muda tidak boleh menerima kerajaan yang dipimpin oleh Datuk Seri Najib Razak yang memperkenalkan GST dan gagal mengawal harga minyak, selain faktor isterinya.

Beliau bagaimanapun, tidak bersetuju dengan faktor itu kerana beranggapan ada lagi isu tempatan di kawasan masing-masing tidak diselesaikan menyebabkan rakyat menolak BN.

“Itu bukan cara yang sihat, kerana kita tidak sedar isu tempatan kawasan masing-masing lebih banyak untuk diselesaikan.

“Tetapi rakyat, terutama berdarah muda telah ditanam dengan hanya cerita GST yang menjadikan kos hidup mereka terbeban. Isu agama, kesihatan, keselamatan, kemudahan dan pendidikan yang lebih baik ditolak hanya demi menumbangkan seorang individu.

“Berjaya juga Pakatan Harapan (PH) dengan taktik peralihan tumpuan kesalahan dalam sepanjang kempen mereka. Itupun daripada bantuan Tun Dr Mahathir Mohamad,” katanya dalam tulisan beliau ‘Suara Rakyat’ yang dimuatnaik dalam akaun Facebooknya.

Azhari yang juga calon BN bagi kerusi Parlimen Shah Alam berpendapat, suara rakyat perlu berlaku dari peringkat bawah dan mudah didengari oleh setiap kawasan terlebih dahulu untuk menyelesaikan masalah isu tempatan yang dianggapnya lebih penting bagi kesejahteraan dan keharmonian kawasan masing-masing.

Katanya, permainan isu negara (nasional) yang belum pasti tepat dan benar, tidak perlu diiyakan kerana boleh mengundang ke arah fitnah dan dosa.

“Suara rakyat dan demokrasi ini yang berbahaya, kalau tidak diimbangi balik. Kalau rakyat tetap akan tertumpu kepada isu nasional saja, mereka tidak akan hirau sesiapa saja wakil rakyat mereka dilantik walaupun isu tempatan mengalami masalah.

“Ini memang permainan strategi peralihan tumpuan PH dalam memenagi PRU14 kerana mereka akur calon BN lebih ramai berpotensi dari mereka sehingga calon menteri penuh pun susah untuk diputuskan.

“Mereka (PH) juga tidak menafikan kekurangan calon berwibawa untuk mentadbir negara,” katanya.

Beliau secara jujur memaklumkan, golongan belia menyokong PH disebabkan trend terkini, iaitu menjadi penyokong tanpa memahami misi dan visi sesebuah parti. – MalaysiaGazette