Tuan Ibrahim Tuan Man
Tuan Ibrahim Tuan Man
KUALA LUMPUR – Pas menawarkan diri untuk menjadi rakan dialog kepada Kerajaan Persekutuan dalam membangunkan negara menerusi kerjasama baik dengan kerajaan negeri yang ditadbir parti itu di Kelantan dan Terengganu.
Timbalan Presidennya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, Pas juga akan menyokong dasar kerajaan yang mendorong ke arah kebaikan dan ketaqwaan kepada Allah dalam era baharu politik negara.
“Pas bersedia menjadi rakan dialog dalam membangunkan negara di bawah konsep taawun siyasi.
“Pas juga sedia menjadi pembangkang yang konstruktif dan berkesan ke arah kesejahteraan dan pembangunan negara.
“Pendekatan politik semak dan imbang ini akan membantu kerajaan dalam melaksanakan pembangunan negara yang cemerlang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Tuan Ibrahim juga berkata, walaupun Pas bukan sebahagian daripada PH, namun kejayaan parti Islam itu mempertahankan Kelantan dan merampas semula Terengganu daripada BN dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 9 Mei lalu tidak boleh dipandang remeh.
“Walaupun tidak bersama PH mentadbir negara, namun kejayaan PAS di Terengganu dan Kelantan, memperoleh 90 Adun dan 18 Ahli Parlimen dengan sokongan 2 juta lebih pengundi bukanlah angka yang kecil.
“Pas dengan dasar Islam yang dibawa akan memperkasakan suasana harmoni antara kaum, memperkasakan jati diri rakyat Malaysia khasnya di kalangan umat Islam.
“Atas faktor itu, langkah terbaik ialah menjadikan Pas rakan dialog di negeri dan Persekutuan,” katanya.
Katanya lagi, Kerajaan PH disaran meninggalkan budaya politik konflik, fitnah dan bertembung perlu kerana ia hanya melahirkan sikap bosan dan menyampah dalam kalangan rakyat.
“Kini seluruh rakyat mengharapkan semua parti politik bergerak ke hadapan bagi menjamin segala janji dan manifesto kerajaan dilaksanakan.
“Peranan Pas sebagai rakan dialog dan pembangkang berkesan pastinya adalah situasi menang-menang untuk rakyat dan Kerajaan Persekutuan yang ditunjangi oleh PH,” katanya lagi. – MalaysiaGazette.