Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Dana-dana global bertindak balas terhadap keputusan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) di luar jangkaan dengan melupuskan sejumlah RM2.48 bilion ekuiti tempatan dalam pasaran terbuka (tidak termasuk tawaran luar pasaran) pada minggu lepas.

Ia merupakan penjualan besar-besaran oleh pelabur asing dalam pasaran bursa Malaysia sejak minggu berakhir pada 23 Ogos 2013 yang menyaksikan aliran keluar bersih sebanyak RM2.90 bilion.

MIDF Amanah Investment Bank Berhad dalam laporan pasaran mingguannya berkata, pelabur-pelabur asing merupakan penjual bagi 10 hari dagangan sehingga Jumaat lalu.

Katanya, hari pertama dagangan selepas PRU14 menyaksikan aliran keluar sebanyak RM682.6 juta, bagaimanapun nilai dagangan pada bursa pada hari tersebut adalah tertinggi yang pernah dicatatkan iaitu RM7.30 bilion.

Jualan asing pada hari Selasa meningkat kepada RM837.3 juta, tertinggi dalam tempoh sehari sejak awal Februari 2018.

Pada hari Rabu, aliran keluar asing berkurangan kepada RM320.7 juta selepas Kerajaan Pakatan Harapan mengumumkan pengurangan Cukai Barangan dan Perkhidmatan kepada sifar peratus mulai 1 Jun ini serta pengampunan penuh Datuk Seri Anwar Ibrahim.

MIDF Research berkata, pelabur-pelabur asing meneruskan jualan pada hari Khamis dan Jumat, masing-masing sebanyak RM384.4 juta dan RM251.2 juta berikutan peningkatan hasil perbendaharaan Amerika Syarikat yang menganggu pelabur.

Berikutan tekanan jualan sengit, aliran masuk bersih kumulatif ke Malaysia setakat tahun ini telah banyak dikurangkan kepada RM40.2 juta berbanding RM2.52b sebelum PRU14.

“Kami optimistik bahawa jumlah kumulatif ini mungkin secara beransur-ansur meningkat apabila kedudukan politik semakin jelas,” kata firma itu.

Walaupun mencatatkan aliran keluar mingguan terbesar dalam kalangan 4 pasaran ASEAN Malaysia masih mendapat manfaat daripada aliran masuk asing.

Penyertaan asing kekal kukuh kerana nilai perdagangan harian purata asingĀ (ADTV) meningkat hampir 100 peratus kepada RM2.39 bilion, tertinggi dalam 24 minggu.

Begitu juga penyertaan dalam runcit dan pasaran institusi adalah kukuh pada paras yang tidak dicapai dalam tempoh 18 minggu. – MalaysiaGazette