MIRI – Catatan laman sosial Facebook yang mendakwa wakil rakyat Parlimen Miri Dr Michael Teo Yu Keng akan membawa usul agar status agama dalam MyKad dihapuskan pada persidangan Parlimen adalah tidak benar.

Setiausaha Politik beliau yang juga Naib Ketua Wanita Kebangsaan PKR Voon Shiak Ni berkata Pakatan Harapan tidak pernah berhasrat berbuat demikian dan menyifatkan paparan Facebook yang dipetik oleh sebuah tabloid berpangkalan di Semenanjung baru-baru ini sebagai berita palsu.

“Kami tidak pernah berhasrat mengubah status agama pada MyKad dan dokumen undang-undang lain. Ini adalah negara berbilang kaum, pelbagai agama dan kami menganjurkan sikap saling menghormati terhadap amalan beragama seluruh rakyat Malaysia seperti yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Sehubungan itu beliau merayu agar netizen berhenti menularkan catatan tersebut kerana ia tidak berasas serta bukan berasal daripada laman Facebook rasmi Dr Teo.

Orang ramai boleh dapatkan maklumat terkini daripada Facebook rasmi Dr Teo menerusi PKR Parlimen Miri P.219, katanya.-BERNAMA