Datuk Seri Mohamed Azmin Ali
Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (kanan) semasa pertemuan pertama dengan pengurusan Unit Perancang Ekonomi (EPU) di Pejabat Menteri Jabatan Perdana Menteri, Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 22 MEI 2018

PUTRAJAYA – Datuk Seri Mohamed Azmin Ali akan berbincang dengan kepimpinan tertinggi Pakatan Harapan (PH) untuk menamakan calon Menteri Besar Selangor yang sesuai untuk menggantikan beliau dalam masa terdekat.

Beliau berkata, hanya selepas kesepakatan itu dicapai senarai nama calon akan dipersembahkan kepada pihak Istana untuk mendapat perkenan Sultan Selangor.

“Istana sudah keluarkan kenyataan pagi semalam di mana tuanku telah memperkenan saya mengambil jawatan ini (Menteri Hal Ehwal Ekonomi) di peringkat Kerajaan Persekutuan

“Dalam masa sama kita akan bincang dengan tuanku tentang nama-nama yang berpotensi untuk menjadi MB baharu sebaik sahaja Istana mengenal pasti nama dan sejurus selepas tuanku memberi perkenan.

“Sudah tentu kita kena kembali kepada pimpinan parti dan berbincang dan cuba mendapatkan konsensus sebelum kita hantar nama kepada Istana,” katanya pada sidang media di Kompleks Jabatan Perdana Menteri, di sini, hari ini.

Semalam, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah memberi perkenan kepada Mohamed Azmin untuk menerima jawatan Menteri Hal Ehwal Ekonomi dan melepaskan kedudukannya sebagai Menteri Besar.

Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani berkata, Mohamed Azmin bagaimanapun akan kekal memegang jawatan itu sehingga peralihan kuasa kepada Menteri Besar baharu dapat dijalankan secara lancar dan teratur.

Mohamed Azmin berkata, sebaik sahaja calon yang sesuai dikenal pasti, barulah beliau akan melepas jawatan Menteri Besar Selangor dan proses itu dijangka selesai dalam beberapa minggu.

“Selepas itu baru saya akan lepaskan jawatan ini, tapi proses ini tidak lama, dalam masa terdekat, beberapa minggu akan datang. Ia adalah proses normal,” katanya. – MalaysiaGazette