Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Salahuddin Ayub bercakap pada sidang media sebelum Majlis Berbuka Puasa bersama warga Kementerian MoA di Tapak Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) Serdang, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 22 MEI 2018.
Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Salahuddin Ayub.

SERDANG – Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani akan menyemak semula projek Pusat Fidlot Nasional (NFC) dalam usaha bagi memastikan bekalan daging lembu tempatan mencukupi.

Menterinya, Salahuddin Ayub berkata, meskipun matlamat projek itu baik namun ia pernah mencetuskan kontroversi sebelum ini.

“Saya tidak mahu ulangi kesilapan lalu. Matlamat NFC baik. Kita akan nilai semula tanah projek NFC di Negeri Sembilan dan sebahagian tanah di Segamat Johor,” katanya.

Salahuddin berkata, kementeriannya bersedia untuk mengadakan rundingan dengan kerajaan Johor dan Negeri Sembilan bagi membincangkan mekanisme terhadap projek baharu itu.

Syarikat NFC ditubuhkan untuk membangunkan industri daging lembu terancang, bersepadu dan mampan.

NFC sebagaian daripada rancangan kerajaan untuk menjamin 40 peratus tahap mampu diri bekalan daging dalam program menjamin keselamatan makanan negara.

Bagaimanapun, timbul kontroversi apabila Pengerusi Eksekutifnya Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail disiasat dan didakwa atas dua pertuduhan pecah amanah membabitkan nilai keseluruhan RM49.7 juta.

Mahkamah melepaskan dan membebaskan Salleh daripada semua pertuduhan jenayah pada 25 November 2015. – MalaysiaGazette