Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hadir di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Ra­suah Malaysia (SPRM) bagi memberi keterangan berhubung siasatan kes SRC International Sdn. Bhd di Putrajaya. foto HAZROL ZAINAL, 22 MEI 2018.
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hadir di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Ra­suah Malaysia (SPRM) bagi memberi keterangan berhubung siasatan kes SRC International Sdn. Bhd di Putrajaya. foto HAZROL ZAINAL, 22 MEI 2018.

PUTRAJAYA – Memasuki jam 2.40 petang, bermakna bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak sudah lima jam memberi keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Para media dan jurufoto semakin ramai membanjiri perkarangan SPRM bagi mengambil gambar Najib yang akan meninggalkan SPRM.

Terdahulu, Najib tiba di perkarangan ibu pejabat SPRM jam 9.40 pagi.

Beliau yang hadir dengan menaiki kereta Toyota Vellfire bernombor plat QMN11 diringi masuk oleh pengawal keselamatan SPRM.

Najib adalah antara individu penting bagi menyelesaikan siasatan terhadap SRC International, anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Pada Jumaat lalu, SPRM telah menyerahkan notis meminta Najib hadir untuk memberi keterangan selepas suruhanjaya berkenaan membuka semula siasatan kes aliran wang dari SRC International iaitu anak syarikat 1MDB sehingga ia diletakkan di bawah Kementerian Kewangan pada 2012.

Pada 26 Januari 2016, media melaporkan Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali mengesahkan bahawa tiada sebarang kesalahan jenayah dilakukan Najib berkaitan kes melibatkan dana RM2.6 bilion dan SRC International. -MalaysiaGazette