Shamsul Anuar Nasarah

KUALA LUMPUR – Selepas Pengerusi Tabung Haji (TH), Datuk Seri Azeez Abdul Rahim meletakkan jawatan, tindakan sama dibuat Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Datuk Shamsul Anuar Nasarah.

Memetik laporan FMT, Shamsul Nasarah sudah meletakkan jawatan pada 15 Mei lalu.

“Saya sudah letak jawatan 15 Mei lalu,” katanya hari ini.

Shamsul yang mula memegang pentadbiran PTPTN sejak 2013 berkata, kini beliau akan fokus kepada tugas-tugas beliau selaku Ahli Parlimen Lenggong yang dimenanginya pada Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU-14), 9 Mei lalu.

Pada PRU-14 lalu, Shamsul berjaya mempertahankan kerusi yang disandangnya itu sejak 2008, selepas menewaskan calon PKR, Amirul Fairuzzeen Jamaluddin dan calon Pas, Muhammad Mujahid Mohammad Fadzil dengan majoriti 5,773 undi. -MalaysiaGazette