Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail (tengah) diiringi Pengerusi MyCARE, Prof Madya Dr. Hafidzi Mohd Noor (tiga kiri) dan Lembaga Pemegang Amanah Humanitarian Care Malaysia (MyCARE), Dr. Fauziah Mohd Hasan (tiga kanan) dan wakil MyCARE menunjukkan poster ‘kami bersama’ pada Majlis Perkongsian Misi Flotila ke Gaza 2018 di Kediaman Timbalan Perdana Menteri, Bukit Segambut, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 24 MEI 2018

KUALA LUMPUR – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berkata kerajaan Pakatan Harapan (PH) akan meneruskan polisi terhadap Palestin sebagaimana yang dibawa oleh Barisan Nasional (BN).

Menurut beliau, biar pun masih belum ada Menteri Luar yang dilantik namun segala polisi mengenai negara Islam itu tetap akan dikekalkan.

Malah katanya kerajaan PH tetap tidak bersetuju dengan tindakan Amerika Syarikat yang bertindak membuka kedutaan mereka daripada Tel-Aviv ke Baitulmaqdis.

“(Segala) polisi (terhadap Palestin) kita kena teruskan juga. Apabila kita dalam Parlimen, kita setuju apa yang kerajaan lama (BN) buat.

“Tapi kerajaan yang baru ini kita lihat PPB pun buat penentangan mengenai pemindahan kedutaan di Baitulmaqdis,” katanya dalam satu sidang media di kediamannya di Bukit Segambut petang tadi.

Dalam satu kenyataan, Kementerian Luar (Wisma Putra) pada 15 Mei lalu, Malaysia membantah keras keputusan Amerika Syarikat membuka kedutaan negara itu secara rasmi di Baitulmaqdis pada 14 Mei lalu.

Dalam kenyataan itu, Malaysia dengan teguhnya percaya bahawa langkah ini akan menjejaskan dan membahayakan lagi usaha ke arah mencari penyelesaian yang menyeluruh dan berkekalan terhadap konflik Palestin-Israel.

Wan Azizah sebelum ini menerima kunjungan Humanitarian Care Malaysia (MyCare) yang telah membuat siri pelayaran ke Palestin pada 22 Mei lalu.

Misi pelayaran dengan tema “Hak untuk Masa Depan Palestin 2018” merupakan satu lagi cubaan Freedom Flotila Coalition (FFC), untuk memecahkan sekatan haram Israel keatas penduduk Palestin di Gaza.

Buat masa ini, dua rakyat Malaysia iaitu Pegawai Ekskutif MyCare, Kamarul Zaman Shahrul Anwar dan Pengerusi BDS Malaysia, Prof. Mohd Nazari Ismail sudah berada dalam misi terbabit. -MalaysiaGazette