Dr. Wan Azizah Wan Ismail beramah mesra bersama kakitangan ketika hadir pada Majlis Serah Tugas Bekas Menteri KPWKM di Ibu Pejabat Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat, Putrajaya. foto IQBAL BASRI, 24 MEI 2018

PUTRAJAYA – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat akan menubuhkan beberapa pasukan petugas khas untuk mengatasi masalah terdesak yang berkaitan dengan kanak-kanak.

Menterinya, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berkata, ia penting bagi memantau masalah pertumbuhan terbantut kanak-kanak di negara ini.

Katanya, masalah itu perlu diteliti dengan mendalam kerana kajian daripada Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef) menunjukkan selain pertumbuhan terbantut, sebahagian kanak-kanak dari keluarga miskin juga mengalami masalah obesiti.

“Kita tengok anak itu gemuk, tetapi bila dilakukan pemeriksaan, dia gemuk bukan kerana sihat, sebaliknya disebabkan masalah lain yang tidak baik,” katanya pada sidang media selepas melaporkan diri bertugas di kementerian itu di sini, hari ini.

Dr. Wan Azizah yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, pihaknya perlu memahami dengan lebih mendalam kenapa masalah yang sama iaitu pertumbuhan terbantut dan obesiti berlaku di kalangan kanak-kanak dalam golongan keluarga miskin.

Untuk tujuan itu, tegas beliau, kementeriannya perlu melibatkan pakar ekonomi, pemakanan, pendidikan dan pediatrik untuk meneliti masalah berkenaan.

Mengenai hak wanita dan langkah patut diambil untuk mengatasi masalah keganasan rumah tangga, gangguan seksual dan kepenting membela hak kanak-kanak, beliau berkata, itu semua akan diteliti dan diambilkira dalam perancangan kementeriannya.

“Terdapat pelbagai jawatankuasa dan majlis yang telah ditubuhkan sebelum ini. Kita akan kaji satu persatu untuk penambahbaikan.

“Saya juga akan berbincang dengan Peguam Negara mengenai keperluan mengkaji undang-undang sedia ada agar ia lebih berkesan dalam melindungi wanita dan kanak-kanak.

“Ini termasuklah undang-undang mengenai kesaksamaan gender.Kita akan menjemput input dari semua pihak berkepentingan dari dalam dan luar kerajaan untuk berbincang mengenai hal ini,” katanya.

Beliau yang turut ditanya mengenai nama kementerian itu berkata, namanya kekal kepada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat. – MalaysiaGazette