Tuan Ibrahim Tuan Man
Tuan Ibrahim Tuan Man

KUALA LUMPUR – Pas bercadang untuk mewujudkan kerajaan perpaduan dengan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) di Kedah atas alasan demi kebajikan rakyat.

Timbalan Presidennya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man ketika membangkitkan cadangan itu berkata, sekarang bukan masanya untuk mana-mana pemimpin mempertahankan kepentingan parti tertentu semata-mata kerana kuasa.

“Rakyat telah pun menjalankan tanggungjawab mereka dalam PRU14 lalu dengan memilih pemimpin mereka.

“Sekarang tiba tanggungjawab pemimpin pula untuk menjalankan amanah mereka untuk berbakti kepada rakyat.

“Demi memastikan amanah rakyat dapat disempurnakan dan kebajikan mereka dijaga, Pas memohon kepada semua parti di Kedah supaya menerima cadangan mewujudkan kerajaan perpaduan,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.

Pada PRU lalu, PH memenangi 18 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), manakala Pas (15) dan Barisan Nasional (3).

Tuan Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian menjelaskan, rakyat telah memilih dan berharap pilihan itu dapat mendahulukan mereka sebelum kepentingan politik.

Kata beliau, konsep kerajaan perpaduan akan memungkinkan semua pihak berperanan dalam mentadbir negeri Kedah tanpa ada pembangkang, terutama dalam situasi DUN tergantung sekarang.

“Kita sedia untuk duduk semeja berbincang dengan PH dan BN demi rakyat,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast