Datuk Seri Shahidan Kassim
Datuk Seri Shahidan Kassim

KUALA LUMPUR – Langkah meminta untuk menukar Menteri Besar (MB) yang mendapat sokongan majoriti bukan satu penderhakaan kepada Raja Perlis, kata Datuk Seri Shahidan Kassim.

Pengerusi Perhubungan Barisan Nasional (BN) negeri itu berkata, istilah ‘derhaka’ dan ‘murka’ tiada dalam undang-undang, disamping menegaskan mereka hanya meminta Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail mempertimbangkan MB yang mendapat sokongan majoriti.

“Apa makna derhaka? Apa makna murka? Saya tak faham sebab tiada dalam undang-undang.

“Bagaimana pula dengan rakyat yang marah ?Kita jangan mengindahkan bahasa untuk menakutkan rakyat.. Kenapa menakutkan rakyat dengan perkataan yang kita tidak faham.

“Saya tidak derhaka dan saya tidak mengganggu orang tetapi saya bagi pihak BN memohon Tuanku mempertimbangkan Menteri Besar yang mendapat sokongan majoriti,” katanya menerusi satu kenyataan dimuatnaik di akaun Facebooknya hari ini.

Shahidan berjanji kepada rakyat Perlis untuk memperjuangkan hak demokrasi iaitu parti yang memenangi pilihan raya mestilah boleh memerintah.

Kemelut pelantikan MB Perlis bermula selepas Datuk Seri Azlan Man sah menjadi MB untuk penggal kedua apabila mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar di Balai Menghadap, Istana Arau semalam.

Istiadat mengangkat sumpah jawatan itu berlangsung di hadapan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail.

Bagaimanapun, sembilan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN tidak hadir semasa majlis angkat sumpah tersebut.

Sebaliknya, Shahidan bersama sembilan ADUN itu semalam mengadakan sidang media menolak pelantikan Azlan dan juga mengumumkan pemecatannya daripada UMNO dan menjadikannya MB bebas buat kali pertama dalam sejarah. – MalaysiaGazette