Mohd Ali Baharom.

KUALA LUMPUR – Presiden NGO No 1 Negara, Mohd. Ali Baharom menawarkan diri bertanding sebagai Presiden UMNO pada pemilihan parti itu kelak.

Nampaknya beliau yang juga dikenali sebagai Ali Tinju merupakan individu pertama menyatakan hasrat bertanding jawatan tertinggi UMNO.

“Melihat keadaan UMNO selepas PRU-14 ini semakin lemah, saya terpanggil menawarkan diri untuk membela parti yang saya sayangi ini dan membentuknya semula baik seperti asal seperti zaman awal penubuhannya dahulu dengan mengambilkira sokongan akar umbi.

“UMNO tidak boleh lagi diuruskan oleh segelintir pucuk pimpinan yang menguasai parti, roh perjuangan Melayu peringkat bawahan mesti dijadikan penentu,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

UMNO mesti kembali seperti zaman Tunku Abdul Rahman, katanya.

Ali Tinju yang juga Ketua Penerangan UMNO Cawangan Bandar Tasik Selatan berkata, niatnya untuk bertanding juga mendapat sokongan ahli-ahli NGO pimpinannya seluruh negara.

“Kalau saya menang Presiden UMNO pun bukan jadi Perdana Menteri kerana parti sudah menjadi pembangkang.

“Tetapi mahu jadi pembangkang pun parti kena kuat semula,” ujarnya.

Ditanya mengenai perancangannya jika menerajui UMNO, Ali Tinju berkata, pengstrukturan semula pimpinan dan kawalan kepada aset parti akan dilakukan.

“Seperti contoh, di Kuala Lumpur kawasan kuat pembangkang seperti Seputih, Bukit Bintang, Batu dan Segambut tidak perlu setiap kawasan ada seorang ketua bahagian, cukuplah kawasan itu dijaga seorang wakil sahaja.

“Saya mahu menguatkan cawangan dan mengecilkan bahagian daripada 199 kepada kira-kira 100 sahaja manakala cawangan bunian akan dihapuskan.

“Kalau mahu ia jadi realiti ahli perlu pilih saya,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau juga mahu ahli-ahli UMNO yang merasakan diri mereka layak boleh bertanding dalam parti sebagai cara menyuburkan demokrasi.

Apa penting, katanya, selain pimpinan yang komited, pucuk pimpinan baharu UMNO kelak menjadi nafas segar kepada parti.- MalaysiaGazette