Polis Sabah sedang berusaha untuk mendapatkan bekas Ketua Menteri Tan Sri Musa Aman bagi merekodkan kenyataannya dengan segera berhubung siasatan laporan polis Tuan Yang Terutama (TYT) Sabah Tun Juhar Mahiruddin terhadap Musa yang dibuat pada minggu lalu.
Musa Aman

KOTA KINABALU – Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Tan Sri Musa Aman, dipercayai masih berada di dalam negara walaupun hingga kini belum tampil memberi keterangan berhubung laporan polis dibuat Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin, baru-baru ini.

Semakan menerusi sumber Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) mendapati tiada sebarang pergerakan beliau keluar dari negara ini, menurut BH Online.

Difahamkan, Imigresen turut memantau pergerakan beliau susulan arahan daripada pihak tertinggi jabatan itu.

Berdasarkan rekod, Musa dikesan berlepas ke Kuala Lumpur dengan penerbangan Malindo dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) pada jam 9 pagi 14 Mei lalu.

Beliau dikatakan menghadiri mesyuarat parti dipengerusikan bekas Timbalan Perdana Menteri yang juga Naib Presiden UMNO yang menjalankan tugas Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Sementara itu, Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Ramli Din mengesahkan pihaknya belum dapat mengambil keterangan daripada bekas Ketua Menteri Sabah itu.

“Tan Sri Musa belum tampil memberi keterangan. Yang kita tahu, beliau tiada di Kota Kinabalu,” katanya ketika dihubungi.

Peguam Musa, Zahir Shah yang dihubungi NSTP bagaimanapun enggan mengulas lanjut.

Sebelum ini, polis Sabah menggesa Musa tampil untuk diambil keterangan berhubung laporan polis dibuat Juhar, bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah.

Setakat ini, polis sudah merakamkan percakapan sembilan individu, termasuk Juhar sejurus beliau membuat laporan polis pada 14 Mei lalu.

Rabu lalu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hadir di rumah Musa di sini, namun tidak dapat memasuki kediaman itu kerana beliau tiada di rumah.

Ia dipercayai ada kaitan dengan siasatan SPRM terhadap Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Dr Jeffrey Kitingan yang bekerjasama dengan BN bagi usaha membentuk kerajaan negeri selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14). – MalaysiaGazette